Sebuah rancangan National Geographic di siaran Astro- Liputan tentang hak asasi kaum wanita di Pakistan yang sangat membimbangkan. Kaum wanita yang bergelar isteri diperlakukan seperti hamba. Setiap perbuatan yang dianggap sebagai mencemar nama suami atau keluarga mertua akan dibalas dengan sepak terajang dan mungkin juga dibunuh.
Aduan demi aduan dibuat tetapi pihak berkuasa hanya memandang sepi isu ini. Tambah membimbangkan kerana wujudnya amalan rasuah yang tidak terkawal di negara yang antara termiskin di dunia ini. Undang-undang dan badan kehakiman boleh 'dibeli' dengan nilai yang sangat murah.
Balai-balai polis dan pejabat-pejabat kerajaan yang lainnya dilihat hampir tiada kaum wanita. Ini adalah kerana budaya penduduk Pakistan yang melarang kaum wanita untuk keluar dikhalayak ramai demi menjaga maruah. Jika didapati ada wanita yang keluar berurusan di luar, dia akan dianggap sebagai wanita yang jahat dan tidak akan diberi layanan.
Mungkin inilah punca kenapa kaum wanita di Pakistan tidak mendapat hak yang saksama sepertimana kaum lelaki. Ditambah pula dengan tahap pendidikan yang sangat rendah di kalangan kaum wanita terutamanya golongan miskin. Mujur ada inisiatif beberapa individu dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba berjuang bagi mendapatkan hak mereka.
Diperlihatkan bagaimana seorang wanita yang dipukul dan dibakar anggota badannya oleh keluarga mertuanya dengan kejam. Mujur masih bernafas tetapi terpaksa menanggung derita yang berpanjangan kerana rawatan yang perlu diterima memakan kos yang sangat tinggi - sesuatu yang mustahil untuk dilakukan oleh golongan bawahan yang miskin sepertinya. Pun begitu, dalam kesakitan wanita tadi masih mahu bertoleransi dengan keluarga suaminya. Mungkin kerana takut dan mungkin juga kerana tidak tahu untuk menuntut hak disebabkan tahap pendidikan yang rendah. Setelah didesak oleh aktivis pembela kaum wanita, barulah dia bersetuju untuk mendakwa keluarga mertuanya itu.
Di negara Pakistan digunapakai undang-undang yang membenarkan keluarga si mati untuk mengampunkan pesalah jika dibayar sejumlah pampasan yang telah dipersetujui bersama (dalam perundangan Islam ianya disebut sebagai Diyah). Jika tidak, si pesalah perlu dikenakan hukuman Qisas (pembalasan serupa terhadap setiap perbuatan yang mendatangkan kesakitan, kecederaan ataupun yang menyebabkan kematian).
Walaupun terdapat khilaf dalam cara dan jumlah pampasan Diyah ini, tetapi konsepnya memenuhi syariat. Malangnya ia telah disalahguna bagi menutup kesalahan-kesalahan si pelaku jenayah kejam ini. Keluarga si mangsa yang rata-ratanya adalah golongan miskin terpaksa menerima bayaran pampasan itu kerana kesempitan wang. Pada mereka si mati tetap tidak akan kembali sekalipun 'hutang darah dibayar dengan darah'. Adalah lebih baik jika menerima sahaja pampasan itu demi kesinambungan waris yang masih tinggal.
Akibatnya undang-undang Allah yang dibawa oleh rasulNya ini dipermainkan demi kepentingan golongan tertentu. Apa yang lebih dikesalkan ialah dalam masalah ini sahaja undang-undang Islam digunakan tetapi tidak dalam kes-kes jenayah yang lain.
Presiden Pakistan, General Pervez Musharraf telah ditemuramah oleh wartawan National Geographic berkenaan hak asasi wanita di negaranya. Beliau diajukan soalan tentang hak kaum wanita di Pakistan yang terlalu rendah dan tiadanya usaha berkesan yang telah dilakukan oleh kerajaan pimpinannya.
Dengan nada yang kurang senang beliau menjawab bahawa usaha sedang dilakukan bagi mengatasi masalah itu, cuma media luar yang suka menonjolkan keburukan Pakistan di mata dunia.
Yang paling menariknya ialah apabila wartawan itu mempersoalkan perbelanjaan kerajaan yang banyak dihabiskan untuk program nuklear dan ketenteraan berbanding perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat.
Dengan nada yang marah Musharraf menjawab, "Awak tidak faham. Tanpa kuasa tentera, negara ini tidak akan wujud! (merujuk kepada ancaman India dan Taliban di sempadan dengan Afghanistan). Kalau sudah begitu, apa gunanya saya berada di sini!? (sebagai pemimpin negara)"
Persoalannya, bolehkah wujudnya kesejahteraan tanpa kedaulatan (negara)? Bolehkan wujudnya kedaulatan jika rakyat atau masyarakat yang tidak sejahtera mula memberontak dan menjadi agen kuasa-kuasa luar untuk menjahanamkan negara? Antara jihad untuk mempertahankan negara dan jihad ekonomi, yang mana lebih utama?
-AbdRahman
No comments:
Post a Comment