Tuesday, June 22, 2010

Dr Asri - UMNO, PAS Atau Kekal Bebas?

Heboh bila diperkatakan yang mantan Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin akan menyertai UMNO. Beliau yang sebelum ini dikhabarkan akan menubuhkan parti politiknya sendiri mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang komen lanjut. Minda Tajdid

Pelbagai pihak memberikan reaksi yang berbeza berkenaan isu ini. Dr Asri yang menghadiri Muktamar PAS baru-baru ini dilihat semakin jinak dengan PAS tiba-tiba dikatakan sebenarnya lebih berminat dengan UMNO.

Ramai pemerhati politik berpendapat yang ianya boleh menggugat parti pembangkang itu kerana PAS dilihat agak terdesak untuk mendapatkan saf kepimpinan yang berwibawa sepertinya. Namun ada juga yang berpendapat sebaliknya. Ini kerana kemasukan Dr Asri kedalam UMNO bakal mencetuskan kegelisahan di kalangan ulama-ulama yang telah sedia ada di dalam UMNO.

Dr Asri yang terkenal kerana pemikiran 'tajdid' dan radikalnya sering mendahului di dalam mengeluarkan pendapat. Beliau sering menyerang dengan pendapat-pendapat yang dinukilkan daripada ulama-ulama yang menyalahi pegangan mazhab di Malaysia. Rata-rata ulama di dalam UMNO berfikiran tradisional dan konservatif dan mereka pasti menentang kemasukan beliau ke dalam parti itu. Beliau yang dilabelkan sebagai berfahaman Wahabi bakal mencetuskan penentangan dan rasa tidak puas hati di kalangan ulama yang sedia ada.

Dr Asri mungkin tidak akan melepaskan peluang ini untuk menyebarluaskan dakwah alirannya. Sepertimana ketika beliau menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis, jawatan dalam UMNO memungkinkannya untuk lebih bebas bergerak dan berfatwa. Kes tangkapan oleh JAIS keatas beliau kerana mengajar tanpa tauliah mungkin akan dapat diredakan jika perkara ini menjadi kenyataan.

Apabila ditanyakan hal ini kepada Ustaz Idris Ahmad yang juga Ketua Penerangan PAS, beliau menyatakan yang perkara itu tidak sama sekali menjadi kerisauan buat PAS. Ini kerana kata beliau setiap ulama yang menyertai UMNO akhirnya akan menjadi lemah dan hilang rasa hormat masyarakat terhadap mereka. Mereka tidak lagi bebas bercakap sebaliknya akan hanya menjadi 'pak turut' dan 'pak angguk'. Mereka bukan lagi harimau yang menyimpan kuku tetapi telah menjadi kucing yang ditumpulkan kukunya kerana menjaga kedudukan dan kepentingan masing-masing.

Apabila diteliti keadaan dan situasi semasa ada kemungkinan Dr Asri akan kekal sebagai ulama bebas. Beliau bebas mengkritik dasar kerajaan mahupun pembangkang yang dirasakannya menyimpang. Kecenderungan beliau untuk kononnya menyertai politik lebih kepada menilai susana semasa bagi tujuan kepentingan dakwahnya. Rata-rata golongan muda dan profesional lebih meminati gaya dakwah dan pemikirannya yang lebih terbuka dan segar.

Persoalan yang ditunggu-tunggu ini mungkin akan terjawab Jumaat ini. Sama ada beliau akan menyertai UMNO atau PAS ataupun kekal bergerak bebas, dia masih perlu berdepan dengan sekian ramai penentang aliran pemikirannya. Dr Asri diibaratkan seperti duri dalam daging bagi pendokong aliran dakwah Islam arus perdana di Malaysia. Beliau diperangi dari segenap arah. Oleh itu amat penting baginya untuk terus kekal bijak supaya tidak tersilap langkah.



-AbdRahman

Saturday, June 5, 2010

Wujud Pada Falsafah & Sains

Kenyataan bahawa alam(1) ini wujud dahulu sebelum manusia tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Ia adalah kenyataan yang telah pun dibuktikan secara saintifik. 

Pun begitu ia tidak membuktikan yang alam ini wujud bebas daripada kesedaran manusia. Ini kerana manusia pada kehidupan dan kesedaran roh adalah sebahagian daripada alam. Inilah kenyataan yang dipegang oleh golongan pendokong fahaman idealisme(2). Mereka juga dikenali sebagai golongan falsafah.

Secara saintifiknya, telah dibuktikan bahawa sesuatu yang dilihat, didengar, dihidu dan disentuh rasa hanyalah melalui isyarat elektrik yang disampaikan oleh deria kepada otak untuk dibuat penafsiran. (lihat tulisan Harun Yahya dalam e-book - Relativiti Masa & Hakikat Takdir)
 
Membuktikan bahawa keadaan melihat, menghidu, mendengar, menyentuh atau rasa itu bersifat maujud (secara zahir nyata) adalah meleset kerana ia hanyalah tafsiran otak semata-mata melalui isyarat elektrik yang telah diproses. Bagaimana jika isyarat itu  tidak dapat diproses atau dihantar ke otak? Bagaimana pula jika otak tersalah mentafsirkannya? Sepertimana keadaan orang yang sedang berhalusinasi, apa yang dilihat, sentuh, hidu, dan rasa hanya berlaku di dalam kesedaran mindanya sahaja. Fizikalnya tidak begitu.

Kita seolah-olah dipaksa untuk menerima dan mempercayai hakikat kewujudan alam sekeliling sebagai kewujudan konkrit mengikut tafsiran otak kita. Dalam masa yang sama, hakikat kewujudan otak juga tidak dapat dibuktikan secara mutlak. Ia hanyalah persepsi bahawa respon serta proses telah berlaku disana (otak). Inilah yang dikatakan bahawa kewujudan alam itu hanyalah berdasarkan kesedaran fikiran manusia semata-mata melalui hujah golongan idealis.

Ini berbeza dengan fahaman materialisme
(3) yang menghujahkan bahawa kewujudan alam ini bebas sepenuhnya daripada kesedaran fikiran manusia semata-mata kerana dapat dibuktikan melalui pancaindera. Dengan erti kata lain alam ini wujud secara konkrit (maujud).

Sebagai contoh tarikan graviti bulan dapat diukur secara tepat pada skala sebenar hanya dengan melakukan penjelajahan ke sana. Mengetahui kelazatan sesuatu makanan adalah dengan cara merasa sendiri makanan itu. Dengan kata lain fahaman materialis meletakkan kajian, ujian, penerokaan dan penjelajahan bagi ukuran sesuatu kebenaran pengetahuan mengenai dunia luar. Secara ringkasnya sains digunakan untuk membuktikan kebenaran wujud sesuatu perkara.

Berbeza dengan golongan idealis. Mereka meletakkan ilham, intuisi (gerak hati) dan wahyu (untuk nabi & rasul) sebagai cara untuk manusia mengetahui akan wujudnya alam. Dengan erti kata lain, setiap yang kita respon pada yang dilihat, disentuh, dihidu, didengar dan dirasa ini adalah berdasarkan ilham dan gerak hati daripada Allah SWT.

Meletakkan diri dikalangan meterialis adalah sesuatu yang salah dan sesat kerana menafikan kekuasaan mutlak Allah sebagai Tuhan yang Maha sempurna sifat dan af'alNya (perbuatan). Manakala meletakkan diri pada fahaman idealis semata-mata juga tidak tepat kerana menyandarkan segala-galanya kepada Allah tanpa usaha dan ikhtiar menyalahi konsep syahadah itu sendiri. Pengakuan bahawa hanya Allah itulah sebenar-benarnya Tuhan perlulah berorientasikan syariat yang dibawa oleh rasulNya Muhammad SAW. 

Fahaman idealis yang melampau juga memungkinkan penolakan secara total akan ilmu sains. Sehingga ada  yang mendakwa sains itu direka oleh Yahudi bagi menjauhkan insan daripada Penciptanya. Kenyataan bahawa alam ini hanya wujud dalam kehidupan dan kesedaran roh itu sendiri dibuktikan melalui kaedah sains. 

Kesimpulannya, mencari hakikat ketuhanan perlu digerakkan oleh kesedaran emosi dan intelektual yang tinggi dan matang. Hakikat kebendaan itu hanyalah bersifat majazi (kiasan, sandaran) bukannya bersifat hakiki (hak, benar) dan kita tinggalkannya hanya sebagai wasilah (ikatan, pertalian) kepada Allah sebelum  kita kembali menemuiNya.

-AbdRahman


(1)Bersinonim dengan dunia, bumi, buana, jagat, mayapada, loka, kosmos, angkasa, langit (DBP)
  -  Dalam ilmu usuluddin alam dinisbahkan sebagai 'selain daripada Allah'.
(2)Sifat (sikap atau perbuatan) melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal, sifat (sikap, cita-cita, dsb) menghasratkan yang unggul (sempurna) (DBP) 
(3)Fahaman yang mempercayai bahawa hanya jasad yang wujud di alam ini (DBP)

Monday, May 31, 2010

Beli Sijil Pahala

"Ustaz, saya nak wakaf atas nama saya, mak, ayah, suami dan anak-anak. Berapa kaki tanah yang nak kena wakaf ni?" tanya seorang kakak yang datang ke gerai Darul Tahzhib kelmarin di Karnival Halalan Toyyiba. Aku terdiam seketika memikirkan apa yang sepatutnya dijawab.

"Kak nak wakaf berapa kaki sebenarnya?" aku bertanya.

"Kak nak wakaf 50 ringgit. Sekaki 25 ringgit kan? Jadi dapat dua nama saja la..."

"Bukan macam tu Kak. Kami tawarkan sekaki persegi tanah wakaf ni 25 ringgit. Berapa yang Kak mampu terpulang la. Lagi banyak yang Kak wakaf lagi banyak la pahala dia. Tang nama tu Kak nak boh berapa banyak pun takpa,"  aku menjelaskan.

"Bukan 1 kaki untuk satu nama ka?" Kakak itu kembali menyoal.

"Ish... tak faham lagi Kakak ni...,"  bisik hati kecil ku.

"Sijil wakaf ni hanya untuk rujukan kami saja. Sapa-sapa yang nak wakaf, minima 25 ringgit. Itu dah kami tetapkan sebagai target. Ikut la kemampuan Kak nak wakaf banyak mana pun. Tang nama tu hanya sebagai panduan bila Kak nak lafaz akad nanti. Lafaz tak penting. Yang penting niat dalam hati. Lafaz ni cuma nak menyempurnakan niat saja. Kalau Kak pi derma seringgit kat masjid tapi niatkan untuk semua kaum keluarga pun sampai, insyaAllah. Tak payah tulis nama pun. Yang penting ikhlas,"  panjang aku menerangkannya.

"Jadi Ustaz, boleh la Kak nak boh nama mak, ayah, suami dan nama semua anak-anak Kak?"  

"Anak Kak ada berapa orang?" 

"Empat."

"Macam ni la... saya tulis 'untuk diri sendiri, suami, ibu dan bapa serta anak-anak'. Kalau nak tambah ibu dan bapa mertua pun cukup lagi ni."

 "Tak payah tulis nama penuh ka Ustaz?" soalnya lagi.

Aku tersenyum.

"Kertas ni kecik saja Kak, tak cukup nak tulis ni. Masa Kak lafaz sat lagi, Kak niatkan la untuk depa semua. Saya tau tak penting. Yang penting Allah tau."  

.........................................................................................................................................................................

Teringat aku akan paderi-paderi yang menjual surat penghapus dosa kepada penganut Kristian. Harapnya jangan sampai ada yang beranggapan yang sijil wakaf tanah ini pun sama macam surat penghapus dosa orang-orang Kristian sudahlah - haru jadinya nanti!

-AbdRahman

Friday, May 28, 2010

Karnival Halalan Toyyiba

Bertempat di Masjid Bandar Baru Air Itam, Pulau Pinang
Pada 28 Mei hingga 30 Mei 2010
9.00pg - 12.00 mlm  Pameran & Jualan




TENTATIF PROGRAM

Jumaat 28 Mei 2010

10.30pg  - Program bermula
               - Kuiz
12.00t/hr - Tazkirah Jumaat
1.18t/hr   - Solat Jumaat
2.00ptg   - Perasmian oleh YB Hj Malik Kassim
2.30ptg   - Pertandingan Hafazan, Azan & Bacaan al-Quran
5.45ptg   - Bacaan Yaasin & Tahlil
6.30ptg   - Persembahan Qasidah & Burdah
7.30mlm - Solat Maghrib
8.00mlm -  Tayangan Televideo Gempaq
8.30mlm - Solat Isyak
9.30mlm  - Tazkirah Ringkas
12.00t/mlm - Bersurai


Sabtu 29 Mei 2010
10.00pg  - Program Bermula
1.00ptg   - Kuiz
               - Pertandingan Mewarna
               - Sukaneka
2.30ptg   - Pengajian Kilat
5.30ptg   - Sukaneka
6.00ptg   - Penyampaian Hadiah
7.30mlm  -Solat Maghrib & Selawat Beramai-ramai
8.30mlm  - Solat Isyak
9.30mlm  - Forum Perdana 
               - Ahli Panel : Hj Mohd Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS)
                                    Ustaz Shahul Hamid (Pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib)
                                     Ustaz Hizab Hambali
12.00mlm  - Bersurai


Ahad 30 Mei 2010
10.00pg   - Program Bermula
11.00pg   - Penerangan Produk Annusyirah
12.00t/hr  - Jamuan Kenduri Rakyat
1.18t/hr    - Solat Zohor
2.00ptg    - Penerangan Tentang e-Jenazah
5.15ptg    - Ceramah Syarikat AUTO TOUCH
                   - panduan/tips penjagaan tayar
                  - panduan pemanduan selamat
                  - mengesan masalah sistem penyejukan enjin
                 - prosedur selepas kemalangan

7.30mlm   - Solat Maghrib dan Selawat
8.00mlm   - Persembahan Nasyid
8.30mlm   - Solat Isya'
9.00mlm   - Penerangan ESQ
9.45mlm   - Doa & Penutup
12.00mlm - Bersurai

Sunday, May 23, 2010

Mensyariatkan, Bukan Sekadar Syiar

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ustaz Rosidi Hussain dalam kuliahnya di Surau Ar-Raudhah, Pusat Bayan telah membacakan surah  Al-Maidah ayat 90.

‘ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, judi, berhala, dan bertenung nasib adalah (pekerjaan) keji dari perbuatan syaitan. Sebab itu hendaklah kamu jauhi, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.'

Ianya dikaitkan dengan ura-ura kerajaan untuk melesenkan aktiviti pertaruhan sepanjang Piala Dunia 2010 nanti. Kononnya adalah lebih baik mengadakan judi 'halal' supaya dapat dipantau kegiatan judi 'haram'.

Semasa dibacakan ayat suci itu, teringat aku pada kejadian beberapa hari yang lepas. Bukan berkenaan judi tapi bertenung nasib. Beberapa orang sahabat di tempat kerja datang mengadu tentang kehilangan wang yang dipercayai dicuri oleh rakan mereka sendiri. Mereka lalu bertanyakan aku kalau-kalau guru aku boleh membantu untuk menilik angkara siapa perbuatan itu.

Terkedu aku seketika kerana individu yang diharapkan untuk menilik itu ialah guru aku sendiri. Dalam keadaan yang serba salah aku mengatakan yang guru aku itu bukannya nujum sebaliknya hanyalah guru agama. Aku juga menerangkan serba sedikit bahawa menilik itu hukumnya haram dan boleh membawa kepada syirik. Ia merupakan satu penghinaan terhadap Allah bila meminta pada yang selain daripadaNya. Ia juga boleh menjadi punca permusuhan dan boleh memutuskan silaturrahim sesama Islam.

Kelmarin seorang sahabat meminta aku menulis berkenaan Bunian. Kebetulan Bunian ini dinisbahkan kepada bangsa jin lalu aku cuba kaitkannya dengan perbuatan menilik kerana sinonimnya perbuatan menilik ini dilakukan dengan bantuan jin. Pun begitu aku terpaksa menolak permintaannya itu kerana aku tiada pengetahuan yang cukup berkenaan alam jin ini.

Masih ramai diantara kita yang gagal mengaitkan perbomohan dan penilikan ini dengan bantuan jin. Ada juga yang meng'harus'kannya bila kononnya melibatkan jin Islam. Walaupun jin itu mengaku beriman, kita tetap tidak boleh mendapatkan bantuan daripadanya. Manusia yang kita lihat baik di depan mata pun boleh di ragui sikap dan perwatakannya di belakang inikan pula jin yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata. Sesungguhnya Allah dan Rasul telah mengingatkan kita supaya tidak bersahabat atau mendampingi golongan jin ini. Malanglah bagi mereka yang gagal untuk mengkaji perkara ini seterusnya merosakkan iman mereka.

Kenapa ini terjadi? Seperti kata Ustaz Rosidi, kita dilihat sebagai negara Islam contoh tetapi kehebatan itu dinilai dari sudut kebendaan dan fizikal bukannya kefahaman, penghayatan, perlaksanaan dan penguatkuasaan.

Kita memiliki masjid-masjid yang tersergam indah, kita ada jabatan-jabatan yang menguruskan hal ehwal agama, kita ada UIAM dan kita kerap pula menganjurkan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Tapi semua ini tiada maknanya jika hanya sekadar lambang dan syiar bukannya diangkat sebagai syariat.

-AbdRahman

Monday, May 10, 2010

Menunggu Janji Allah

Cadangan untuk membina masjid di Ground Zero mencetuskan sedikit perdebatan emosi terutama di kalangan waris dan keluarga mangsa pelanggaran kapal terbang ke atas bangunan berkembar World Trade Center, September 2001.

Hal ini adalah kerana kesedihan dan kemarahan penduduk kota New York serta keluarga mangsa yang mengaitkan serangan itu dengan nama perjuangan Islam. Pun begitu, bantahan itu tidak dipersetujui oleh masyarakat Islam kerana kata mereka lebih 300 orang Islam juga antara yang terkorban semasa serangan itu.

Alasan pembinaan masjid itu ialah ianya satu lambang toleransi antara agama. Ia juga adalah lambang kesepakatan rakyat Amerika tanpa mengira agama dan warna kulit dalam menentang sebarang bentuk terrorisme dan ekstrimisme.

Secara umumnya bagi rakyat Amerika yang beragama Islam ia adalah satu kemenangan moral dalam menunjukkan sikap Islam yang membenci keganasan. Pun begitu bagi kita umat Islam harus sedar ini adalah satu bentuk propaganda kerajaan Amerika terutamanya kepada kepimpinan Obama yang mendapat majoriti undi daripada penduduk Islam supaya terus diberi kepercayaan untuk penggal yang berikutnya.

Ianya juga mungkin adalah usaha kerajaan Amerika untuk memenangi hati umat Islam serata dunia yang marahkan dasar luar Amerika sebelum ini terutama dalam isu Palestin, Iraq dan Afghanistan. Memenangi hati pemimpin-pemimpin negara Islam akan membuka lebih ruang perdagangan dan sebarang kerjasama untuk menyekat serta melumpuhkan rangkaian pengganas Islam antarabangsa.

Kenapa kumpulan-kumpulan pengganas ini muncul? Ia adalah sesuatu yang perlu dikaji. Perlu diingat yang dasar kerajaan Amerika Syarikat terhadap Israel tidak pernah berubah sejak dulu. Pada mereka menentang musuh bukan sahaja dengan cara menyerang terus tetapi juga dengan cara menghilangkan sokongan dan juga simpati masyarakat antarabangsa. Perjuangan menegakkan Islam Syumul telah digantikan dengan kebendaan dan keseronokan sementara. Untuk itu hasil bumi umat Islam dieksploitasi dan yang untungnya adalah syarikat-syarikat tajaan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Demokrasi dan kebebasan bersuara serta perjuangan hak asasi ditonjolkan kononnya untuk mengangkat kaum yang tertindas dan ketinggalan. Padahalnya ia adalah untuk menyekat kebangkitan negara Khilafah daripada kembali mengusai dunia.

Kita pada dasarnya menolak kumpulan-kumpulan pengganas ini tapi sedarlah yang mereka mungkin bakal pencetus kepada kebangkitan Islam sepertimana yang telah Allah dan Rasul janjikan dahulu.  Hanya Allah dan Rasul yang mengetahuinya.

-AbdRahman

Catatan Masa Lalu

Seperti biasa pagi itu (Ahad 21 Feb 2010) aku memulakan cuti ku dengan lepak di warung roti canai depan flet. Makan, minum sambil borak-borak dengan sesiapa yang aku kenal sebelum memulakan sebarang aktiviti yang seterusnya. Biasanya rakan borak aku ialah para jemaah surau  ataupun penduduk sekitar kejiranan flet dan apartment di sini. Kadang-kadang tokey air dan tokey roti canai pun layan aku juga. 

Tiba-tiba hadir seseorang yang aku kenal sebulan yang lalu- seorang cina Kristian awal 40an yang bertugas sebagai engineer di sebuah kilang di Jelutong. Dia juga penduduk di sini. Tangan berjabat dan aku mempelawa dia duduk di hadapan ku.

Aku ketika itu sedang membaca akhbar Kosmo dan dia membaca akhbar The Star. Tercari-cari bagaimana hendak memulakan bicara lalu aku spontan bertanya tentang tajuk depan The Star di tangannya berkenaan penamatan khidmat keretapi Bukit Bendera setelah 40 tahun beroperasi untuk ditukarkan dengan yang lebih canggih dan moden.

“Macam mana Penang sekarang? Banyak sangat complain. Zahrain pun dah keluar pakatan dah,” aku memancing respon.

“Semua tak buat kerja betul. BN, pembangkang pun sama. Kenapa nak sekat orang berniaga? Kenapa nak roboh gerai makan? Apa salahnya bagi dia orang ni berniaga? Kita pun senang nak cari makan. Gerai kotor? Kerajaan boleh bagi peruntukan. Setiap gerai kita buat standardize. Semua sama. Tapak pun sama. Tak ubah. Kerajaan tak payah la kenakan permit dan lesen. Setiap gerai wajib bayar sebulan RM30 ke RM50 ke untuk Majlis Perbandaran cuci longkang. Ok apa? Anak bini aku pun senang nak turun beli makan. Masa lagi, minyak lagi. Ni kumpul semua (peniaga) kat satu tempat, jauh, tak stategik, sapa nak pergi? Gerai-gerai ni semua boleh menggalakkan pelancongan,”  bebelnya panjang berjela-jela.

“Baguslah kalau nak buat macam Singapore. Bersih dan cantik. Tapi tengok la orang sana berapa pendapatan dia! Roboh sana, roboh sini. Kita sini semua pendapatan sederhana saja. Ada rumah ada kereta, cukup makan bukannya kaya. Semua projek banyak orang kaya yang untung. Sekarang ni mereka focus kat town area sama Batu Feringgi. Sana orang kaya la untung. Kita? Kerajaan kalau nak tolong rakyat bukan ambil tanah kampung buat projek mewah. Mereka patut buat banyak Homestay. Tengok kat batu Feringgi dan Teluk Kumbar, rumah orang kampung banyak kena roboh, buat rumah mewah, hotel. Siapa punya? Apa salah buat Homestay? Pelancong suka. Kerajaan melalui tourism untung rakyat pun untung,” lagi panjang pula hujah dia.

“Memang pelancong nak tengok budaya setempat lebih-lebih  lagi kalau pelancong Arab. Depa ni yang banyak datang sini. Satu, budaya Islam hampir sama. Lagi satu senang dapat makanan halal. KFC, pizza. Kat  Arab payah dapat,” turn aku pula berhujah.

“Orang nak tengok perubahan bukan cakap kosong. Bagi aku kalau nak tengok mereka buat kerja atau tak, tengok longkang. Macam mana saluran longkang untuk banjir boleh sumbat? Ada pokok boleh hidup pulak dalam tu. Apa ni? Masa Guan Eng naik dia cakap exco dia akan bagi Penang bersih. Sampai hari ni sama jugak,” dah... dia potong cakap aku balik.

Katanya lagi…“Itu Dragon Boat Festival. Buat kat laut lepas. Dulu buat kat dam (empangan) selamat, tak pernah jadi apa-apa. Ini exco yang suruh buat kat laut tak mau pulak letak jawatan. 6 orang dah mati lemas bot terbalik. Safety precaution tak ada.”

Dia diam seketika sambil menyedut rokok dalam-dalam. Dihembusnya asap rokok itu ke bawah meja. Takut kena aku agaknya.

“Apapun aku rasa paling penting adalah kebersihan. Kita sini tengok la. Dekat dengan airport tapi tak bersih. Tourist naik bas dari airport nak ke town tengok kiri kanan jalan kotor. Kalau cantik tentu dia suggest kat kawan-kawan dia suruh datang. Dia pun mungkin datang lagi.”

“Tak habis lagi ke cakap pasal kebersihan? Hai….” kata aku dalam hati.

“Mungkin kena undi parti baru la,”  tambahnya lagi.

“Kenapa? Orang cina tak suka DAP? Ada parti baru ka?”  aku menyoal.

“Ya la. Sekarang ini ada tubuh baru, Parti Cinta Malaysia.”

“Melayu ada masuk?”

“Ada… semua bangsa boleh masuk. Tengok la kalau tak okey kita tukar,” macam kecewa sahaja bunyinya.

“Hmm… dah pukul berapa ni? Saya nak kena balik dululah. Er… nama apa…?”  aku meminta diri.

“Choo,”  jawabnya ringkas.

“Saya Man. Abdul Rahman. Panggil Man saja. Okey la Choo, saya balik dulu. Jumpa lagi.”

“Ya la. Aku pun nak balik jugak. Anak aku tunggu makan ni,” katanya sambil mengangkat beberapa bungkusan nasi lemak dan kuih untuk dibawa balik.

Ini adalah ringkasan perbualan kami pagi ini. Banyak yang dibincangkan tapi tidak dapat untuk aku tuliskan kesemuanya. Aku sebenarnya kagum dengan lelaki cina ini. Dia bercakap jujur dan faham situasi semua kaum, bangsa dan agama di negara ini. Kami sebenarnya pernah berbincang mengenai isu penggunaan nama Allah sebelum ini pada perkenalan pertama. Masa itu aku tidak tahu nama dia lagi - lawakkan? Dia seorang Kristian tapi telus membicarakannya tanpa emosi. Malahan dalam beberapa situasi, dia lebih tenang dan matang bila isu ini (agak sensitif) dibincangkan antara kami. Tunggulah, akan aku ceritakan lagi pada penulisan aku yang akan datang. InsyaAllah….

-AbdRahman

Saturday, May 8, 2010

Islamic Rock? It Rocks Islam!

Band rock bertemakan Islam? Kalau di Indonesia ada dakwah cara dangdut, di Malaysia pula ada dakwah cara rock? Hmm... menarik bunyinya tu. Al-Farabi Band yang dianggotai oleh 6 anak muda, 5 lelaki dan seorang wanita bakal mencetuskan fenomena baru muzik di dalam pasaran dengan kelahiran album mereka tidak lama lagi. Muzik yang mereka perjuangkan adalah Hard Rock!

Golongan sasaran mereka adalah remaja. Memberikan alternatif muzik kepada remaja dengan bahan Islamik diharap dapat menyeimbangkan unsur-unsur negatif muzik rock di luar sana. Matlamatnya ialah mendekati remaja supaya kembali kepada Islam.

Hebat! Tapi bolehkah remaja diubah hanya dengan muzik? Rock pula tu. Teringat aku akan konsert Mawi di Kota Bharu suatu ketika dahulu. Penerapan nilai-nilai Islam yang dibawa tidak kemana. Mawi tetap Mawi dan hiburan di Malaysia kekal serupa - lagi teruk ada la! Kalau kerajaan negeri Kelantan pun tidak boleh ubah, masakan Al-Farabi Band boleh?

Lagi satu, kenapa perlu ada anggota perempuan? Seorang pula tu di kalangan 5 lelaki. Boleh timbul bermacam fitnah. Main pula muzik rock. Bila nak buat konsert tak bercampur band lain ok la. Kalau bercampur? Haru!

Cuba tengok Faizal Tahir masa bersama kumpulan nasyid Mirwana. Bukan main Islamik lagi. Sekarang? Sekarang dah jadi rocker siap berani buka baju tayang dada masa konsert. Ikon Islam dah jadi ikon mungkar!

Mengikut pengalaman aku la... masa pergi tengok konsert rock dulu-dulu, kalau kepala tak angguk ikut beat drum dan gitar, kaki mesti nak goyang punya. Kita tengok masa Al-Farabi Band buat konsert nanti adakah audiens tunduk insaf atau turut sama 'hinggut' layan muzik. Masa itu lirik sudah tidak penting lagi.

Nak ubah masyarakat kena ubah sistem pemerintahan dahulu bukan dengan muzik semata-mata. Jangan  jadi macam Loteri Kebajikan, walaupun diadakan dengan tujuan baik, hukumnya tetap haram dan ianya boleh jadi penyebab untuk ke Neraka. Pendek kata, matlamat baik cara juga mestilah kena baik.

Satu yang aku nak puji tentang Al-Farabi Band ini - mereka lebih pandai ikat serban berbanding aku!


-AbdRahman

Friday, May 7, 2010

Rajin Beli Tapi Tak Rajin Baca

Satu hipotesis daripada penulis blog 'Hembusan'. Katanya...
"99% daripada manusia yang rajin beli buku, tidak akan membacanya sehingga habis. Manakala 80% daripada baki 1% itu sekadar membacanya ala kadar."

Katanya lagi...
"...atau jika kau baca kesemuanya, boleh atau tidak kau fahamkan kepada orang lain akan isi-isi penting sebuah buku yang selamat kau khatam pada tahun lepas?"


Seperkara lagi... buku-buku novel cinta remaja, fiksyen, majalah-majalah hiburan, fesyen, masakan dan seumpamanya tidak termasuk dalam hipotesis ini.

Aku dapat merasakan akan kebenarannya walaupun ia hanyalah hipotesis liar tanpa kajian sahih. Peratusan mungkin tidak betul tetapi kebimbangan tentangnya perlu ada.

Rata-rata masyarakat kita terutamanya kaum Melayu  memang malas membaca. Cuba tengok berapa banyak majalah hiburan di pasaran berbanding majalah ilmiah? Berapa banyak pula buku-buku tahyul dan seks berbanding buku-buku agama? Kalau ada pun tidak banyak kerana kurang sambutan. Hakikatnya banyak yang dah 'mati' kerana tidak laku! Majalah Mastika hampir mengalami nasib yang sama, mujur diselamatkan dengan menukarkannya menjadi majalah tahyul - akhirnya menjadi sampah perosak minda Melayu.

Cubalah cari majalah Dewan Kosmik, Dewan Masyarakat, Al-Islam dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama). Sukar untuk mendapatkannya kecuali di kedai-kedai buku yang besar dan terpilih sahaja.

Sering seorang sahabat merungut tentang harga buku yang mahal di Malaysia berbanding negara luar seperti Eropah. Kenapa begitu? Mungkinkah kerana kurangnya sambutan masyarakat maka kos pengeluaran tidak dapat dikurangkan? Kalau begitu siapa yang rugi? Mereka yang cintakan ilmu tetapi terpaksa bayar pada harga yang mahal ataupun mereka yang tidak peduli pada ilmu?

Rawatan pada ibu jari kaki aku pagi tadi telah melayakkan aku untuk bercuti selama seminggu. Aku akan menggunakan masa cuti ini untuk cuba menghabiskan seberapa banyak buku yang telah dibeli tetapi  tidak sempat untuk dibaca. Ada lebih kurang 10 ke 12 buah buku kesemuanya.

Sudah tentu  aku tidak mahu menjadi sebahagian daripada hipotesis di atas!

-AbdRahman

Doktor Itu Adalah Tuhan Atau Doktor Itu Ada Tuhan?

"Jangan lagi anggap doktor itu sebagai Tuhan. Doktor sekarang ni setengahnya sudah jadi Syaitan."

Demikianlah lebih kurang apa yang diucapkan oleh Nurse berketurunan India di tempat kerja aku pagi kelmarin. Ianya merujuk kepada sikap doktor-doktor hari ini yang lebih melihat tugas doktor itu bukan lagi sebagai pembantu untuk menyembuhkan pesakit, tetapi lebih kepada 'nak buat duit' dengan prosedur-prosedur rawatan yang tidak perlu semata-mata hanya untuk mengenakan bayaran yang mahal (merujuk kepada hospital swasta).

Aku telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik panel berkenaan ibu jari kaki kananku yang bengkak dan bernanah akibat ditikam oleh kuku yang tidak tumbuh dengan sempurna. Ianya dikenali sebagai 'makan cekam'.

Doktor di situ menyarankan aku supaya mendapatkan rawatan di hospital kerana tidak ada kemudahan untuk rawatan seperti itu di kliniknya. Atas sebab itulah aku merujuk masalah ini ke klinik kilang untuk kepastian. Di sana aku berbual panjang dengan Nurse tentang jenis rawatan dan kosnya, sehinggalah dia melahirkan kekesalannya terhadap industri perubatan dan pengamalnya.

Doktor sebagai Tuhan? Sangat keterlaluan gelaran sedemikian sungguhpun jika doktor itu telah berjaya menyelamatkan nyawa kesemua pesakitnya.

Doktor mempunyai misi dan visi dalam kerjayanya iaitu memberikan perkhidmatan dan kepakaran yang terbaik demi kesinambungan nyawa pesakit.  

Tuhan tidak begitu. Tuhan tidak perlu kepada misi dan visi. Misi dan visi dirancang untuk mengelakkan kegagalan. Mustahil untuk Tuhan gagal dalam perancangan-Nya. Kejayaan atau kegagalan doktor itu sendiri tertakluk kepada perancangan dan kehendak Tuhan.

Bercakap tentang misi teringat aku pada misi-misi di hospital semasa mendapatkan rawatan pagi tadi- lawa-lawa...!

-AbdRahman

Monday, April 19, 2010

Antara Kedaulatan dan Kesejahteraan

Sebuah rancangan National Geographic di siaran Astro- Liputan tentang hak asasi kaum wanita di Pakistan yang sangat membimbangkan. Kaum wanita yang bergelar isteri diperlakukan seperti hamba. Setiap perbuatan yang dianggap sebagai mencemar nama suami atau keluarga mertua akan dibalas dengan sepak terajang dan mungkin juga dibunuh.

Aduan demi aduan dibuat tetapi pihak berkuasa hanya memandang sepi isu ini. Tambah membimbangkan kerana wujudnya amalan rasuah yang tidak terkawal di negara yang antara termiskin di dunia ini. Undang-undang dan badan kehakiman boleh 'dibeli' dengan nilai yang sangat murah.

Balai-balai polis dan pejabat-pejabat kerajaan yang lainnya dilihat hampir tiada kaum wanita. Ini adalah kerana budaya penduduk Pakistan yang melarang kaum wanita untuk keluar dikhalayak ramai demi menjaga maruah. Jika didapati ada wanita yang keluar berurusan di luar, dia akan dianggap sebagai wanita yang jahat dan tidak akan diberi layanan.

Mungkin inilah punca kenapa kaum wanita di Pakistan tidak mendapat hak yang saksama sepertimana kaum lelaki. Ditambah pula dengan tahap pendidikan yang sangat rendah di kalangan kaum wanita terutamanya golongan miskin. Mujur ada inisiatif beberapa individu dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba berjuang bagi mendapatkan hak  mereka.

Diperlihatkan bagaimana seorang wanita yang dipukul dan dibakar anggota badannya oleh keluarga mertuanya dengan kejam. Mujur masih bernafas tetapi terpaksa menanggung derita yang berpanjangan kerana rawatan yang perlu diterima memakan kos yang sangat tinggi - sesuatu yang mustahil untuk dilakukan oleh golongan bawahan yang miskin sepertinya. Pun begitu, dalam kesakitan wanita tadi masih mahu bertoleransi dengan keluarga suaminya. Mungkin kerana takut dan mungkin juga kerana tidak tahu untuk menuntut hak disebabkan tahap pendidikan yang rendah. Setelah didesak oleh aktivis pembela kaum wanita, barulah dia bersetuju untuk mendakwa keluarga mertuanya itu.

Di negara Pakistan digunapakai undang-undang yang membenarkan keluarga si mati untuk mengampunkan pesalah jika dibayar sejumlah pampasan yang telah dipersetujui bersama (dalam perundangan Islam ianya disebut sebagai Diyah). Jika tidak, si pesalah perlu dikenakan hukuman Qisas (pembalasan serupa terhadap setiap perbuatan yang mendatangkan kesakitan, kecederaan ataupun yang menyebabkan kematian).

Walaupun terdapat khilaf dalam cara dan jumlah pampasan Diyah ini, tetapi konsepnya memenuhi syariat. Malangnya ia telah disalahguna bagi menutup kesalahan-kesalahan si pelaku jenayah kejam ini. Keluarga si mangsa yang rata-ratanya adalah golongan miskin terpaksa menerima bayaran pampasan itu kerana kesempitan wang. Pada mereka si mati tetap tidak akan kembali sekalipun 'hutang darah dibayar dengan darah'. Adalah lebih baik jika menerima sahaja pampasan itu demi kesinambungan waris yang masih tinggal.

Akibatnya undang-undang Allah yang dibawa oleh rasulNya ini dipermainkan demi kepentingan golongan tertentu. Apa yang lebih dikesalkan ialah dalam masalah ini sahaja undang-undang Islam digunakan tetapi tidak dalam kes-kes jenayah yang lain.

Presiden Pakistan, General Pervez Musharraf telah ditemuramah oleh wartawan National Geographic berkenaan hak asasi wanita di negaranya. Beliau diajukan soalan tentang hak kaum wanita di Pakistan yang terlalu rendah dan tiadanya usaha berkesan yang telah dilakukan oleh kerajaan pimpinannya. 


Dengan nada yang kurang senang beliau menjawab bahawa usaha sedang dilakukan bagi mengatasi masalah itu, cuma media luar yang suka menonjolkan keburukan Pakistan di mata dunia. 

Yang paling menariknya ialah apabila wartawan itu mempersoalkan perbelanjaan kerajaan yang banyak dihabiskan untuk program nuklear dan ketenteraan berbanding perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat. 

Dengan nada yang marah Musharraf menjawab,  "Awak tidak faham. Tanpa kuasa tentera, negara ini tidak akan wujud! (merujuk kepada ancaman India dan Taliban di sempadan dengan Afghanistan). Kalau sudah begitu, apa gunanya saya berada di sini!? (sebagai pemimpin negara)"

Persoalannya, bolehkah wujudnya kesejahteraan tanpa kedaulatan (negara)? Bolehkan wujudnya kedaulatan jika rakyat atau masyarakat yang tidak sejahtera mula memberontak dan menjadi agen kuasa-kuasa luar untuk menjahanamkan negara? Antara jihad untuk mempertahankan negara dan jihad ekonomi, yang mana lebih utama?

-AbdRahman

Monday, April 5, 2010

Khilaf - Bila Akan Berakhir?

Telah banyak tulisan berkenaan masalah khilaf (perselisihan pendapat) di dada-dada akhbar, majalah, blog dan seumpamanya. Sehinggakan aku juga terpanggil untuk memperkatakannya. Masih banyak di kalangan kita yang masih kabur apakah masalah khilaf ini sebenarnya, punca, kesan dan cara untuk menangani. Umum kita mengetahui dan mengakui terdapat banyak perselisihan walaupun di kalangan Ahlus Sunnah sendiri. Masalah ini bukanlah perkara baru malah telahpun berlaku sejak zaman Rasulullah lagi di kalangan para sahabat.  Pada ketika itu masalah ini bukanlah perkara yang sukar  kerana adanya nabi sebagai rujukan dan pembimbing. Tetapi pada zaman-zaman selepas kewafatan Baginda telah berlaku keadaan-keadaan yang 'mencemaskan' akibat masalah perbezaan ini. Berlaku keadaan di mana kafir-mengkafir dan pergaduhan sesama umat Islam dan ianya sangat menyedihkan.

Secara umumnya kita mengetahui punca khilaf adalah kerana perbezaan pendapat para ulama' dalam mentafsirkan makna tersirat ayat-ayat Mutasyabihat (samar) di dalam Al-Quran mahupun hadith-hadith nabi. Bacaan Al-Quran mengikut Qiraat (kaedah bacaan) yang berbeza-beza juga memungkinkan perbezaan makna dalam ayat Al-Quran. Tidak ketinggalan pengiktirafan status sohih atau tidak sesuatu hadith oleh ulama' juga merupakan faktor kepada kekhilafan ini. Kefahaman tentang bila dan sebabnya turunnya ayat Al-Quran (Asbabun Nuzul) kepada nabi serta sebab-sebab peristiwa sesuatu hadith itu berlaku (Asbabul Wurud) perlu juga diambil kira. Itu belum lagi diambil kira faktor budaya masyarakat setempat, faktor iklim dan geografi, kemaslahatan dan juga keperluan semasa. Juga kaedah-kaedah yang berbeza-beza yang diguna pakai oleh para iman mujtahid dalam berijtihad (mengeluarkan hukum) serta pelbagai lagi sebab-musabab yang di luar pengetahuan aku (kena rujuk ulama'). Inilah punca munculnya aliran mazhab yang pelbagai di dalam Islam.

Aku tidak berminat untuk mengulas perkara-perkara di atas secara mendalam tetapi ingin berkongsi panduan tentang bagaimana kita mendepani perbezaan pendapat ini.

Perlu diingat bahawa setiap kita jangan sampai taasub dengan sesuatu mazhab, individu ataupun kumpulan tertentu sehingga menolak pendapat yang lain. Kita kenalah berprasangka baik terhadap setiap pendapat yang lain walaupun ia bukan pegangan kita. Kita juga jangan mencela atau menyakiti golongan yang tidak sealiran dengan kita. Yakinlah bahawa perbezaan itu adalah rahmat dan ianya mempelbagaikan lagi jalan keluar terhadap satu-satu masalah. Sebagai contoh, dalam mazhab As-Sayfi'e, bersentuhan perempuan dengan lelaki ajnabi (halal kahwin) akan membatalkan wudhu' walaupun tanpa kehadiran rasa shahwat. Sudah tentu ini akan menjadi masalah bagi mereka yang bermazhab Syafi'e jika hendak melakukan tawaf di Baitullah. Jalan keluarnya ialah bertaqlid (bersandar/mengikut) dengan mazhab lain yang berpendapat tidak membatalkan wudhu' dengan jalan bersentuhan jika tidak bershahwat. Mazhab Hambali atau mazhab Maliki misalnya.

Setiap perkara khilaf perlulah diselesaikan melalui cara dialog dan perbincangan dalam semangat ukhuwah sesama Muslim. Di sana kita perlu mengutamakan yang Muhkamat (terang/jelas) bukan yang Mutasyabihat (samar). Sebarang perbezaan perlu adanya toleransi dan jangan sampai ada unsur paksaan atau penolakan sepenuhnya. Perbincangan perlulah lebih menjurus kepada masalah-masalah besar yang melanda umat Islam masa kini bukan kepada bid'ah-membid'ah (sesat-menyesatkan) dalam perkara-perkara furu' (cabang) yang telah diperselisihkan. Berilah keutamaan kepada sebarang kerjasama dalam masalah-masalah yang telah disepakati. Perlu diingat bahawa adalah mustahil untuk mencapai Ijma' (kesepakatan semua ulama') dalam masalah fiqh furu'iyah  (kefahaman dalam masalah cabang).


"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya".
                                                                                                                              An-Nisaa' : 59


Timbulnya persoalan, pendapat yang mana satu yang sepatutnya kita pegang dan ikut? Bagaimana jika orang lain mengamalkan sesuatu yang jelas berbeza dengan kita? Adakah mereka faham isu khilafiah dan bolehkah mereka berlapang dada serta bertoleransi dengan kita nanti?

Kita sebagai orang awam perlu beramal dengan aliran mazhab yang telahpun disepakati dalam masyarakat kita iaitu mazhab As-Syafi'e. Kenapa? Sebagai orang awam kita tidak cukup ilmu untuk berijtihad dalam mengeluarkan hukum. Oleh itu kita diwajibkan bertaqlid  dengan ulama' yang muktabar yang telah diakui ilmu dan ijtihadnya. Lebih-lebih lagi di dalam negara kita ini ada pihak berwajib yang mengawal selia perjalanan hukum-hakam (syarak) untuk diamalkan oleh orang awam seperti kita. Pendek kata, 'mazhab orang awam adalah mazhab pemerintahnya'. Pun begitu bukanlah menjadi kesalahan untuk mengamalkan kepelbagaian mazhab tetapi perlu mengambil kira tahap kefahaman dan keperluan masyarakat setempat bagi mengelakkan perpecahan.

Kepada yang berilmu dan mahir dalam aliran mazhab yang lain, dipersilakan untuk beramal dengan ilmu yang anda ada dengan syarat ianya untuk amalan sendiri bukan untuk diketengahkan kepada masyarakat umum. Ia hanya boleh diajar ataupun diamalkan di kalangan ahli ilmu atau mereka yang faham akan adab dalam berkhilaf sahaja, bukan untuk masyarakat awam yang rata-rata tidak memahami dan bersedia untuk ini.

Walaupun seseseorang itu berilmu dan memahami kepelbagaian mazhab, dia masih perlu untuk beramal dengan mazhab yang dipegang oleh masyarakat awam (selagi tidak bercanggah dengan syarak) untuk mengelakkan perpecahan. Kalaupun ada percanggahan syarak, dia perlulah memahamkan masyarakat dengan cara yang baik lagi hikmah. Setiap persengketaan sesama Muslim akan mengundang bencana dan murka Allah. Kesatuan umat perlulah diutamakan daripada masalah-masalah yang lain. Kita ada musuh yang lebih besar yang sedang menjahanamkan aqidah umat Islam serta 'menyembelih' saudara kita di luar sana!

Jelas di sini masalah khilaf tidak akan berakhir kerana faktor-faktor yang telah disebutkan diatas. Kita juga memerlukannya dalam mem'variasi'kan kemampuan kita untuk mencari penyelesaian  atau jalan keluar terhadap sesuatu masalah.


"Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak, nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu...".
                                                                                                                                 Al-Anfal : 46

Walaupun aku boleh menerima amalan dengan kepelbagaian aliran mazhab, aku tetap menentang satu amalan yang semakin popular dan mendapat tempat di dalam masyarakat kita iaitu talfiq. Apa itu talfiq? Tunggu tulisan aku yang seterusnya...

-AbdRahman

Monday, March 29, 2010

Hidup Perlu Diuji

Telah menjadi lumrah,
Kehidupan di dunia,
Cabaran dan dugaan,
Mendewasakan usia,
Rintangan dilalui,
Tambah pengalaman diri,
Sudah sunnah ketetapan Ilahi.....

Di atas adalah bait-bait lirik sebuah lagu nasyid yang agak popular suatu ketika dahulu. Bercakap tentang Sunnatullah dan takdir, ia adalah hakikat Qada' dan Qadar yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Betapa kita merancang dan berusaha, ketetapan Allah telah termaktub ke atas kita. Pun begitu menyalahkan takdir bukanlah pegangan kita sebagai umat Islam yang beraqidahkan Ahlul Sunnah Wal-Jamaah, kerana Qada' dan Qadar ada kaitannya dengan ikhtiar dan usaha di pihak kita. 

Beberapa hari yang lepas aku diuji dengan kecurian CD player kereta yang sedikit mengganggu emosi. Musibah itu adalah ketetapan yang telah tertulis sejak azali lagi. Allah telah merencanakannya ketika waktu aku masih di dalam rahim ibu lagi sabit dengan hadith nabi:

Sabda Rasulullah: Sesungguhnya seseorang dari kamu dikumpulkan penciptaannya di dalam perut ibunya sebagai setitis air mani dalam masa 40 hari, kemudian menjadi segumpal darah dalam masa 40 hari yang berikutnya, kemudian menjadi seketul daging dalam masa 40 hari yang berikutnya kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu ditiup kepadanya roh dan ditulis baginya akan 4 kalimah iaitu ditentukan akan rezekinya, ajalnya, amalannya samada ia seorang yang celaka atau berbahagia.....
                                                                             Hadith Muttafaqun 'Alaih (Bukhari dan Muslim)


Sungguhpun telah ditakdirkan, peristiwa itu terjadi kerana kelemahan di pihak aku kerana gagal dalam ikhtiar dan usaha. Aku tidak sepatutnya meletakkan kereta di tempat yang gelap lagi sunyi. Aku juga tidak mengaktifkan penggera kereta kerana suis di bahagian pintu tidak berfungsi dengan baik. Ia adalah kerana kegagalan dan kecuaian aku untuk memperbaikinya. Pendek kata aku gagal untuk mengkaji Sunnatullah sehinggalah aku diuji. 


Dari Saidina Ali KW, beliau berkata: Adalah Rasulullah SAW pada suatu hari duduk. Di tangannnya ada sepotong kayu untuk menggores tanah. Baginda mengangkat kepala lalu bersabda: Setiap orang sudah diketahui tempatnya di dalam Syurga atau Neraka.  
Sahabat-sahabat bertanya: Apa gunanya lagi kita beramal, ya Rasulullah? Kenapa kita tidak bertawakal  (duduk menunggu takdir) sahaja?
Rasulullah menjawab: Jangan! Berusahalah, maka setiap kamu akan dipermudahkan Allah sesuai dengan ketentuanNya. Lalu Baginda membaca sepotong ayat Al-Quran: Barangsiapa yang suka memberikan hartanya ke jalan Allah dan membenarkan adanya Syurga, maka Kami akan memudahkan baginya jalan yang mudah, sampai akhir hayat.
                                                                                                                Hadith Riwayat Muslim

Diuji Allah satu hal, bermuhasabah diri di sebalik ujian pula satu hal. Ramai ahli-ahli jemaah surau yang menyatakan simpati dan minta aku bersabar di atas ujian ini. Aku sangat berterima kasih di atas keprihatinan mereka. Pun begitu dalam ramai-ramai, ada seorang abang ini yang kata-katanya begitu menyentuh dan menginsafkan.

"Bukan apa tu... kawan kita ni sembahyang dah bagus dah tapi bila bawak kereta dok dengar lagu-lagu.  Tu yang Dia ambik supaya ingat lebih kat Dia." 

Pedih! Tetapi itulah hakikatnya. Setiap ujian ada terselindung hikmah, terpulang bagaimana kita mentafsirkannya.


Pagi tadi selepas pulang dari kerja malam, Azhar, rakan sekerja yang juga bekas rakan serumah telefon aku. Dalam nada yang sedikit gementar dia menyatakan yang dia telah melanggar seorang budak sekolah bermotosikal di hadapan rumahnya. Dalam kebingungan dia meminta pendapat aku apa yang perlu dibuat. 

"La ni hang ada kat mana?" soal aku.

"Kat Hospital Seberang Jaya. Dia kat bilik kecemasan," balasnya.

"Macam ni... hang tanya doktor keadaan budak tu. Lepas tu hang kena buat report polis. Hang takdak pilihan dah. Nanti ada apa-apa telefon aku," nasihat aku.

"Hmmm..." akurnya. 


Petang tadi aku telefon Azhar. Dia mengatakan yang budak sekolah itu patah tangan dan kereta dia sedang diperiksa serta diambil gambar oleh polis di Balai Polis Bukit Mertajam. Apa yang boleh aku katakan padanya ialah banyakkan bersabar dan terima ini sebagai ujian serta ketentuan Ilahi. Macam aku, musibah yang dia alami juga ada hikmahnya, cuma ujian untuknya lebih berat dan menuntut kesabaran yang lebih berbanding aku.


Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah kerana kesalahan mereka sendiri, ketika itu mereka berputus asa.  Ar-Rum :36


Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia, nescaya dia berpaling dan menjauhkan diri dengan sombong; dan apabila ditimpa kesusahan, nescaya dia berputus asa.  Al-Isra' : 83


Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan/kesengsaraan, maka kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.  An-Nahl : 53


"Ya Allah ya Tuhanku, janganlah aku diuji dengan ujian yang tak mampu untuk  aku menanggungnya. Janganlah dijadikan aku daripada kalangan hamba-hambaMu yang rugi. Jadikanlah aku di kalangan hamba-hambaMu yang senantiasa bersabar dan bersyukur kepadaMu ya Allah. KepadaMu aku berserah dan kepadaMu aku memohon keampunan. Amin." 


-AbdRahman

Wednesday, March 24, 2010

Tangan Durjana!

Macam biasa lepas balik dari surau subuh tadi aku terus dapatkan nasi lemak lauk kelempung (paru-paru lembu). Favourite aku tu. Lepas 'layan' nasi lemak, apalagi... on PC lah. Check Facebook, tengok e-mail dan membaca apa-apa yang patut dari internet. Lepas itu aku layan mp3 ceramah agama pula- Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (SaifulIslam).

Sedang leka melayan ceramah, aku pun terlelap. Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon. Aku bingkas bangun untuk mencapai telefon di hujung kepala. Azmi Keli, rakan setempat kerja telefon minta tolong tengokkan PCnya.

"Nak upgrade le tu..." kata hati kecilku. Memang sebelum ini Azmi telah menyatakan hasratnya untuk menambah 'kuasa' pada PCnya.

"Lepas Zohor dalam pukul 2.00 petang aku datang rumah hang," begitu jawapan aku kepadanya.

Aku bersiap dan turun dari rumah pukul 1.00 tengah hari. Apabila sampai sahaja di kereta aku dapati tingkap sebelah pemandu macam terbuka. Aku menghampiri.

"Bila masa pulak aku bukak tingkap ni?" aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang aku lihat.

"Hah! Sapa punya kerja ni?!" aku mengurut dada. Rupa-rupanya kereta aku telah dipecah masuk dan semestinyalah sasaran utama ialah pemain CD. Habis bersepah dashboard panel aku 'dikerjakan' dalam cubaan untuk mengeluarkan pemain CD itu.

Lirikan mataku segera ku alihkan ke tempat duduk belakang. Macam 'tongkang pecah!'  Disebabkan kereta aku jenis aeroback, pelaku 'dajal' itu hanya perlu menundukkan kusyen belakang untuk mengeluarkan segala isi bonet kereta tanpa perlu membukanya dari luar. Di sana aku simpan dua pasang safety boot yang belum dipakai lagi berserta pemain CD aku yang lama. Habis bersepah tempat duduk belakang dengan kotak-kotak kasut. Ke dua-dua pasang kasut itu 'dibalas'nya tetapi pemain CD yang lama itu ditinggalkan. 'Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berharga lagi!' Duit syiling dalam drawer kecil juga habis 'dikebasnya!' Terlihat di depanku satu pemutar sekeru, bukan kepunyaan aku. Mesti penjahat itu yang punya!
 
"Ciss... bedebah! Kalaulah aku dapat orang tu..." jerit aku di dalam hati.

Tiada apa yang boleh aku buat selain menerima ketentuan Ilahi untuk menguji kesabaran hambaNya ini. Aku segera membuang serpihan-serpihan kaca yang bertaburan di atas kusyen pemandu. Aku membetulkan duduk dan segera menelefon Azmi untuk membatalkan rancangan kami.

Perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah untuk memasang kembali cermin yang telah pecah. Untuk itu aku perlu membawa keretaku ke kedai untuk dipasang kembali cerminnya. Aku membuka laci dashboard untuk mengeluarkan rayban sebelum menghidupkan enjin.

"Hamput! Yang ni pun kena curi jugak!" aku mengetap bibir, menahan marah yang meluap-luap.

Sampai di kedai kereta, aku menerima panggilan daripada Bukhari menanyakan akan hal ini. Rupa-rupanya dia dapat tahu hal ini daripada beberapa sahabat jemaah surau kami. Kenapa aku tidak diberitahu lebih awal? Mungkin mereka tidak tahu yang kereta itu milik aku. Apalah nasib...

Sementara menanti kerja-kerja pemasangan cermin siap, aku ke masjid yang berdekatan untuk solat Zohor. Belum sempat untuk aku berwuduk, aku menerima pula sms daripada Ruzaidi meminta aku menggantikannya  (kerja) malam ini. Aku terpaksa menerangkan hal yang sebenarnya tentang masalah aku. Mujur dia faham apabila aku terpaksa menolak permintaannya itu.

Aku segera pulang setelah cermin kereta aku siap dipasang pada pukul 5.00 petang. Sesampai sahaja  di rumah aku lihat Bukhari sedang melayan anaknya bermain di tempat parkir kereta. Dia lalu mengajak aku untuk membuat laporan polis.

"Nak kena buat jugak ke Bob? Bukan buleh dapat balik. Lagipun benda-benda yang buleh jadi bukti aku dah buang. Cina pomen tu dah pegang habih pintu dengan dashboard ni. Mana nak ada finger print dah," rungut aku.

"Aku sebenarnya malas nak buat report ni. Buang masa saja," aku cuba berdalih.

"Takpa... buat saja. Mana tau kot-kot buleh dapat clue sapa yang buat," Bukhari cuba meyakinkan aku.

"Lagipun dengan buat report ni buleh jadi jugak lepaih ni polis kerap dok ronda sini," hujahnya lagi.

"Jomlah!" aku akur dengan Bukhari. Sebenarnya timbul juga penyesalan kerana laporan polis tidak menjadi keutamaan aku tadi. Mungkin sesuatu yang berkesan boleh dilakukan sekiranya aku pergi terus ke balai polis. Ini adalah pengajaran berguna buat aku.

Kami ke Balai Polis Bayan Lepas untuk membuat laporan. Segala keterangan dan gambar kesan kecurian telah diambil oleh pihak polis. Pemutar sekeru yang aku jumpa tadi juga telah aku serahkan sebagai bahan bukti. Laporan siap dibuat pada pukul 6.30 petang. Terima kasih kepada Koperal Sapri yang sudi menerima laporan aku.

Lepas Isya' tadi aku dan Bukhari berbual dengan seorang pekerja kedai makanan dan pasar mini Ikhwan di kejiranan aku ini. Dia  yang memperkenalkan dirinya sebagai Zakaria telah menyatakan ada melihat dua lelaki bermotorsikal yang mencurigakan malam tadi. Dengan membawa beg yang besar, mereka meronda-ronda sekitar kejiranan ini.  Mereka juga memerhatikan sekitar kedai Ikhwan dengan gelagat yang pelik. Bila ditanya apa yang dicari, mereka segera bertanyakan tentang air Ribena. Setelah diberitahu bahawa kedai itu tidak menjualnya, mereka segera beredar.

"Mana ada orang muda macam tu minum Ribena? Kalau Coke ke Sarsi ke, lain la..."  kata Encik Zakaria.
Aku memandang Bukhari.

"Hmm..." 

"Depa naik EX5. Nombor plet PDM7514,"  tambahnya lagi.  

PDM7514? Siaplah mereka kalau terserempak dengan aku. Perkara pertama yang mungkin aku akan buat ialah langgar mereka dengan sekuat-kuatnya. Biar tersungkur dan berkecai! Baru puas hati.  

Bagaimana jika aku tersilap orang nanti? Bolehkah aku menuduh orang tanpa bukti? Pemain CD aku macam mana? Siapa nak ganti? Arghhh... pening!


Kepada Azmi dan Ruzaidi, maaf kerana menghampakan kalian hari ini. Kepada pemain CD aku yang lama, 'gading bertuah terlepas sudah, tanduk jugalah galang gantinya'.


-AbdRahman

Saturday, March 6, 2010

Iman Asas Taqwa



"Sesungguhnya orang yang beriman itulah mereka yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian itu mereka tidak ragu-ragu..." Al Hujurat : 15

Semakin manusia maju semakin manusia itu tertinggal ke belakang. Ketamadunan akhlak yang sepatutnya menunjangi masyarakat semakin terhakis. Negara berperadaban yang dahulunya galak dilaungkan kini telah semakin menghilang menjadi hanya sekadar retorik. Manusia semakin hilang arah dalam mencari kemajuan duniawi. Kepentingan beragama semakin ditinggalkan.

Yang memimpin sebahagiannya menindas mereka yang di bawah kepimpinannya. Pihak yang berkuasa pula ada yang sanggup menggadai maruah dan keselamatan negara demi mencari kesenangan secara jalan pintas hinggakan rasuah bermaharajalela. Pembunuhan, rompak dan rogol adalah fenomena biasa. Muda-mudi mula khayal dalam dunia hiburan yang tidak dapat lari daripada perlakuan seks bebas, arak dan dadah. Pencemaran alam merosakkan eko-sistem dunia sehingga menyebabkan kepupusan beberapa spesis hidupan saban hari.

Dunia kini semakin tidak selamat untuk didiami. Perkara-perkara sebegini berlaku kerana hilangnya iman di dalam dada sehingga membentuk insan-insan durjana yang berselindung di sebalik manifesto dusta. Jika tidak kerana janji Allah akan kemenangan di pihak yang 'haq', tentu sahaja kita mengatakan bahawa kita sudah tiada harapan, hanya menunggu saatnya kehancuran.

Iman itu adalah kepercayaan yang sesungguhnya di dalam hati, tidak bercampur syak dan ragu-ragu serta ianya dapat mempengaruhi kehidupan seharian sama ada di dalam perbuatan, percakapan mahupun iktiqad (pengakuan dalam hati). Iman merupakan aqidah di dalam memilih cara kehidupan di dunia seterusnya untuk dibawa ke hari akhirat. Iman bukan sekadar fikiran, pendapat dan ideologi malah merangkumi kebenaran yang tetap, tidak berubah-ubah, tidak boleh dipengaruhi dan disimpul mati. Iman yang mantap akan menyuburkan ketaqwaan kepada Allah.
 
Umum iman itu adalah kepercayaan kepada pencipta dan pentadbir alam ini iaitu Allah, kepercayaan kepada para MalaikatNya, kepercayaan terhadap sekelian kitab-kitab dan risalah-risalah yang diturunkan oleh Allah, kepercayaan terhadap rasul-rasul yang diamanahkan membawa utusan daripada Allah, kepercayaan akan datangnya hari Kiamat atau hari pembalasan dan juga kepercayaan bahawa sesungguhnya segalanya yang berlaku di dalam alam ini tertakluk kepada Qada’ dan Qadar Allah.

Menerbitkan rasa keimanan itu perlu bermula dengan percaya bahawa Allah itu ada dan Dia Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Mana mungkin alam yang serba luas dan indah ini tiada penciptanya! Mana mungkin semuanya terjadi dengan sendirinya dan setiap kejadian diserahkan kepada apa yang dinamakan sebagai ketentuan alam!

Sedangkan mesin ciptaan manusia perlu kepada penciptanya, perlu kepada pekerja yang memprogramkannya, perlu kepada pekerja yang menjalankannya serta perlu kepada pekerja yang ditugaskan untuk membaikpulih setelah ia rosak, inikan pula alam ini yang serba kompleks dan terperinci tentu tidak berupaya dicipta, diprogram dan diselenggara dengan apa yang dinamakan sebagai semulajadi dan ketentuan alam.

Siapa yang menjalankan bintang-bintang dan planet-planet termasuk bumi ini tanpa berlaku pertembungan sesama mereka? Siapa yang mengawal pasang surut air di lautan? Siapa yang mengajar setiap hidupan di daratan dan di lautan tentang bagaimana untuk bertindak bagi meneruskan kelansungan hidup sedangkan mereka tidak diberikan akal?

Fitrah manusia yang sihat akal fikirannya pasti dapat merasakan bahawa setiap individu termasuk dirinya sendiri dan alam sekeliling ini diciptakan dengan tujuan yang tertentu. Setiap perjalanan kehidupan makhluk di muka bumi ini serta peredaran planet-planet yang menghiasi alam ini telah ditentukan dan dikawal mengikut suatu kehendak yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa. Hebatnya Allah menciptakan, mentadbir, melindungi, dan menghancur-musnahkan berdasarkan kekuasaan, kehendak dan kebijaksanaanNya.

Individu yang disinari cahaya keimanan akan mendapat ketenangan jiwa kerana adanya pengharapan dan kebergantungan hidup kepada penciptanya. Orang yang beriman merasakan dirinya dekat dengan Allah dan tidak akan dipengaruhi oleh apa jua masalah serta musibah kerana di sana adanya kepercayaan bahawa ia adalah ketentuan dan ujian untuk menilai kedudukan hamba di sisi Tuhannya. Orang yang beriman sentiasa membalas kasih sayang Allah bukan sekadar tunduk dan patuh pada kewajipan beribadah malah turut menjelmakan perasaan kasih dan cintanya sesama ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, masyarakat dan alam sekelilingnya.

Haiwan mempunyai jalan kehidupan yang teratur dan tersusun. Sebagai contohnya lebah. Bermula dengan tugas lebah ratu yang menghasilkan telur, lebah pekerja yang tugasnya membuat sarang, lebah pencari madu sehinggalah kepada lebah pengawal semuanya tahu peranan masing-masing tanpa disuruh. Begitu juga dengan singa yang berburu secara berkumpulan bijak menghendap dan memerangkap mangsa. Jika sasaran buruan juga dalam bentuk berkumpulan, mereka akan cuba menghuru-harakan kawanan sasaran itu dan memisahkan sasaran yang sesuai sebelum menyerang. Semuanya tertakluk kepada naluri yang dipimpin oleh Allah.

Berbeza dengan manusia, walaupun ketentuan tindakan kita adalah berdasarkan Qada’ dan Qadar Allah, kita turut diberikan akal dan ikhtiar untuk bertindak dalam merencanakan kehidupan yang kita pilih. Di sana berlaku pertentangan dan pertembungan antara akal yang baik dan nafsu yang jahat. Iman memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk sahsiah diri dan tingkah laku seseorang seterusnya membentuk nilai masyarakat itu sendiri. Iman membuktikan pengaruhnya dalam kesediaan kita untuk menegakkan hukum dan memelihara amanah serta kesediaan kita untuk mengakui kesalahan dan menerima hukuman.

Iman yang mantap membuatkan kita bersedia untuk memberi dan berkorban. Perasaan untuk mementingkan diri sendiri dan ego adalah sifat semulajadi manusia. Atas sifat-sifat tadi manusia terarah untuk membolot semua kebaikan untuk dirinya sendiri samada dalam bentuk harta kekayaan, pangkat, kemasyhuran atau apa jua perkara yang menjadikan seseorang itu merasa puas dan megah. Pengaruh iman yang kukuh pasti akan mencairkan segala sifat-sifat buruk tadi serta sedia untuk berkorban dan memberi kepada mereka yang memerlukan.

Jangan pula ditafsirkan pengorbanan itu adalah semata-mata hanya untuk kepentingan orang lain kerana di sana banyak sekali contoh betapa ketamadunan kehidupan yang diasaskan oleh iman dan taqwa membawa kepada kebaikan sejagat. Kehidupan para sahabat adalah contoh terbaik selepas zaman Rasulullah. Zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz dan zaman perkembangan ilmu yang dipelopori oleh para cendekiawan Islam membuktikan betapa Islam itu sendiri adalah tamadun yang unggul.

Kerana iman, masyarakat yang lemah akan menjadi kuat, yang lalai dan alpa akan lebih bersiap sedia dan berwaspada, yang putus asa menjadi bersemangat, yang jahil menjadi berilmu dan yang mundur menjadi maju. Keimanan menciptakan revolusi dan pembaharuan samada dalam bentuk gerakan dakwah, pendidikan dan penyelidikan, politik mahupun ekonomi. Jika pembaharuan ini tidak sejajar dengan kehendak jiwa dan kehidupan, maka akhirnya ia akan hancur musnah. Keimanan dan ketaqwaan itulah fitrah jiwa dan kehidupan.

Sebagai kesimpulannya, iman melahirkan manusia yang bertaqwa, tahu batas kehidupan, menghormati hak orang lain dan menjana kemajuan. Melahirkan keimanan perlu bermula dengan mengenali Allah serta sifat-sifatNya yang agung serta percayakan Qada’ dan QadarNya. Sesungguhnya Allah adalah tumpuan dan matlamat kita.

Ingatlah bahawa balasan buruk menanti mereka yang ingkar pada undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Usaha dan pengharapan perlu disandarkan sepenuhnya kepada Allah semoga diperkenankan. Yakinlah seandainya kegagalan yang mendatang itu adalah kerana masih ada kesilapan dan kekurangan di pihak kita dan ia adalah ujian daripada Allah untuk menilai hamba-hambaNya.

"Katakanlah (Muhammad), 'Siapakah Tuhan langit dan bumi?' Katakanlah 'Allah.' Katakanlah, 'Patutkah kamu mengambil pelindung-pelindung selain Allah, padahal mereka tidak berupaya mendatangkan manfaat mahupun menolak mudarat bagi dirinya sendiri?' Katakanlah, 'Samakah orang yang buta dengan yang dapat melihat? Atau samakah yang gelap dengan yang terang? Apakah mereka menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang dapat menciptakan seperti ciptaanNya sehingga kedua ciptaan itu serupa menurut pandangan mereka?' Katakanlah, 'Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dia Tuhan yang Maha Esa, Maha Perkasa.' " Ar-Ra'd : 16

Allahu-Akbar!


Diinspirasikan daripada buku Al-Iman Wal-Hayah oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi.

-AbdRahman

Ruang Fizikal & Minda



"Aku perlukan ruang untuk berfikir."
"Ruangan yang engkau sediakan tak mencukupi untuk artikel aku yang panjang ini."
"Ruang dalaman rumah kau ni sangat luas dan anggun la." - Ini adalah beberapa contoh betapa ruang memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Ruang yang kita cari, pilih atau yang kita perolehi adalah penentu keselesaan, kebebasan, malah mungkin juga penentu kejayaan kita.

Ruang pada bahasanya adalah satu kawasan kosong di antara dua yang terisi (rongga). Ruang juga adalah keadaan di mana sekeliling kawasannya telah disempadankan. Ruang yang lebih besar bermakna sesuatu itu bebas bergerak manakala ruang yang kecil akan menyempitkan dan membataskannya.

Sejak kita masih dalam kandungan ibu, ruang kehidupan kita disempitkan dengan keadaan tubuh kita yang dibatasi dinding rahim. Sewaktu kita baru dilahirkan, batasan ruang kita hanyalah bilik tidur rumah kita sahaja. Kemudian sempadan dinding ruang hidup kita semakin membesar dan mengembang selari dengan faktor usia dan keperluan hidup.

Mereka yang berkerja di kampung, ruang hidupnya terbatas pada sekitar kejiranan dan kawasan sekitarnya sahaja. Berbeza dengan mereka yang telah berhijrah ke bandar mahupun ke luar negara, persepsi dan sudut pandang mereka mula berubah berdasarkan keperluan dan pengalaman di tempat baru dan terasing. Pepatah ada menyebut, 'jauh perjalanan luas pandangan'.

Sejak setengah abad yang lalu kita mula mengetahui yang alam ini semakin mengembang dari semasa ke semasa. Penciptaan teleskop Hubble membolehkan para pengkaji astronomi melihat serta mengukur ruang alam semesta dan seterusnya mengandaikan umur alam ini.

Dianggarkan umur alam ini sekitar 13.7 bilion tahun. Bagaimanakah ahli astronomi menganggarkannya? Hasil kajian mendapati bahawa alam ini mengembang secara malar di seluruh rentasannya. Semakin jauh sesuatu objek, maka semakin besarlah kesan pengembangannya dan semakin lajulah pergerakan dan jarak objek tersebut meninggalkan kita. Dengan mengkaji pengembangan alam secara reverse, maka ahli astronomi dapat mengagak usia alam ini. Bayangkan betapa besarnya ruang yang mengelilingi kita pada hari ini!

Adakah kita perlu meneroka secara fizikal ke seluruh alam untuk mengkaji tentangnya? Mana mungkin untuk kita melakukan perkara itu. Kita hanyalah ibarat sebutir pasir di tengah padang pasir yang luas. Kita hanya meneroka alam ini dengan ilmu dan pengetahuan dari tempat kita berada iaitu bumi. Kita disuruh untuk ke luar bagi mencari ilmu dan pengalaman dengan meneroka alam. Malangnya alam ini terlalu luas untuk diteroka secara fizikal, maka penerokaan dilakukan secara minda.

Ruang hidup kita terbahagi kepada dua; fizikal dan minda. Ruang hidup bolehlah disamakan sebagai padang permainan. Setiap permainan mempunyai peraturannya yang tersendiri. Jika kita melakukan kesilapan bermakna kita mungkin akan kalah. Lebih besar ruang bermakna lebih selesa permainan. Disebabkan kemampuan kita untuk bermain di ruang hidup fizikal adalah terbatas, maka kita boleh teruskan permainan di ruang hidup minda. Ruang hidup minda memungkinkan kita untuk mendapat lebih ruang kebebasan walaupun hakikatnya masih terbatas.

Cuba bayangkan sewaktu kita di zaman kanak-kanak dahulu. Ruang hidup kita hanyalah kotak-kotak televisyen yang kononnya kita jadikan sebagai kereta, kapal terbang atau mungkin juga sebagai rumah. Kita hanya bermain di dalam kotak yang sempit itu tetapi ruang minda kita menjelajah jauh dengan berimaginasi tentang permainan kita. Di situlah pembelajaran kita pada peringkat awal sebelum kita berani meneroka ke alam luar (fizikal) yang masih asing bagi kita.


Alam ruang fizikal adalah tempat di mana kita menimba pengalaman-pengalaman baru dan bereksperimen dengannya. Alam ruang minda adalah tempat di mana kita mengumpul pengalaman-pengalaman di ruang fizikal lalu kita proses dan kembangkannya untuk tujuan muhasabah diri, merancang kehidupan, berfikir dan membuat keputusan serta beribadat (mencari Tuhan). Kegagalan untuk memproses pengalaman di ruang hidup fizikal untuk pembaikan diri bolehlah disamakan seperti para pelabur skim cepat kaya yang berterusan mempercayai bentuk-bentuk pelaburan baru yang dijanjikan walaupun telah beberapa kali tertipu sebelumnya.

Apa yang saya cuba terangkan ialah betapa perlunya kita berpergian jauh untuk menjelajah ruang dan peluang secara fizikal. Akan tetapi kita juga perlukan ruang peribadi bagi mengeksploitasikan kuasa minda untuk melakukan penjelajahan yang lebih luas. Ruang peribadi yang kecil itu boleh jadi bilik tidur kita, bilik bacaan ataupun bilik komputer di rumah. Ruang itu juga boleh jadi suatu sudut di taman, di tepian sungai dan mungkin juga di puncak gunung. Ruang peribadi yang kecil itu akan lebih bermakna jika ianya adalah bilik solat dan zikir, tempat kita mencari 'rahsia' yang Maha Esa sepertimana junjungan nabi kita Muhammad SAW yang mengasingkan diri di Gua Hira' sebelum diangkat menjadi rasul.


"Dan apakah mereka tidak memperhatikan kerajaan langit dan bumi dan segala apa yang diciptakan Allah, dan kemungkinan telah dekatnya waktu (kebinasaan) mereka? Lalu berita mana lagi selepas ini yang akan mereka percayai?" Al-A'raf : 185


"Katakanlah, 'Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi!' Tidaklah bermanfaat tanda-tanda (kebesaran Allah) dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman"Yunus : 101


Subhan-Allah!

-AbdRahman