Secara saintifiknya, telah dibuktikan bahawa sesuatu yang dilihat, didengar, dihidu dan disentuh rasa hanyalah melalui isyarat elektrik yang disampaikan oleh deria kepada otak untuk dibuat penafsiran. (lihat tulisan Harun Yahya dalam e-book - Relativiti Masa & Hakikat Takdir)
Kita seolah-olah dipaksa untuk menerima dan mempercayai hakikat kewujudan alam sekeliling sebagai kewujudan konkrit mengikut tafsiran otak kita. Dalam masa yang sama, hakikat kewujudan otak juga tidak dapat dibuktikan secara mutlak. Ia hanyalah persepsi bahawa respon serta proses telah berlaku disana (otak). Inilah yang dikatakan bahawa kewujudan alam itu hanyalah berdasarkan kesedaran fikiran manusia semata-mata melalui hujah golongan idealis.
Ini berbeza dengan fahaman materialisme(3) yang menghujahkan bahawa kewujudan alam ini bebas sepenuhnya daripada kesedaran fikiran manusia semata-mata kerana dapat dibuktikan melalui pancaindera. Dengan erti kata lain alam ini wujud secara konkrit (maujud).
Sebagai contoh tarikan graviti bulan dapat diukur secara tepat pada skala sebenar hanya dengan melakukan penjelajahan ke sana. Mengetahui kelazatan sesuatu makanan adalah dengan cara merasa sendiri makanan itu. Dengan kata lain fahaman materialis meletakkan kajian, ujian, penerokaan dan penjelajahan bagi ukuran sesuatu kebenaran pengetahuan mengenai dunia luar. Secara ringkasnya sains digunakan untuk membuktikan kebenaran wujud sesuatu perkara.
Berbeza dengan golongan idealis. Mereka meletakkan ilham, intuisi (gerak hati) dan wahyu (untuk nabi & rasul) sebagai cara untuk manusia mengetahui akan wujudnya alam. Dengan erti kata lain, setiap yang kita respon pada yang dilihat, disentuh, dihidu, didengar dan dirasa ini adalah berdasarkan ilham dan gerak hati daripada Allah SWT.
Meletakkan diri dikalangan meterialis adalah sesuatu yang salah dan sesat kerana menafikan kekuasaan mutlak Allah sebagai Tuhan yang Maha sempurna sifat dan af'alNya (perbuatan). Manakala meletakkan diri pada fahaman idealis semata-mata juga tidak tepat kerana menyandarkan segala-galanya kepada Allah tanpa usaha dan ikhtiar menyalahi konsep syahadah itu sendiri. Pengakuan bahawa hanya Allah itulah sebenar-benarnya Tuhan perlulah berorientasikan syariat yang dibawa oleh rasulNya Muhammad SAW.
No comments:
Post a Comment