Monday, April 5, 2010

Khilaf - Bila Akan Berakhir?

Telah banyak tulisan berkenaan masalah khilaf (perselisihan pendapat) di dada-dada akhbar, majalah, blog dan seumpamanya. Sehinggakan aku juga terpanggil untuk memperkatakannya. Masih banyak di kalangan kita yang masih kabur apakah masalah khilaf ini sebenarnya, punca, kesan dan cara untuk menangani. Umum kita mengetahui dan mengakui terdapat banyak perselisihan walaupun di kalangan Ahlus Sunnah sendiri. Masalah ini bukanlah perkara baru malah telahpun berlaku sejak zaman Rasulullah lagi di kalangan para sahabat.  Pada ketika itu masalah ini bukanlah perkara yang sukar  kerana adanya nabi sebagai rujukan dan pembimbing. Tetapi pada zaman-zaman selepas kewafatan Baginda telah berlaku keadaan-keadaan yang 'mencemaskan' akibat masalah perbezaan ini. Berlaku keadaan di mana kafir-mengkafir dan pergaduhan sesama umat Islam dan ianya sangat menyedihkan.

Secara umumnya kita mengetahui punca khilaf adalah kerana perbezaan pendapat para ulama' dalam mentafsirkan makna tersirat ayat-ayat Mutasyabihat (samar) di dalam Al-Quran mahupun hadith-hadith nabi. Bacaan Al-Quran mengikut Qiraat (kaedah bacaan) yang berbeza-beza juga memungkinkan perbezaan makna dalam ayat Al-Quran. Tidak ketinggalan pengiktirafan status sohih atau tidak sesuatu hadith oleh ulama' juga merupakan faktor kepada kekhilafan ini. Kefahaman tentang bila dan sebabnya turunnya ayat Al-Quran (Asbabun Nuzul) kepada nabi serta sebab-sebab peristiwa sesuatu hadith itu berlaku (Asbabul Wurud) perlu juga diambil kira. Itu belum lagi diambil kira faktor budaya masyarakat setempat, faktor iklim dan geografi, kemaslahatan dan juga keperluan semasa. Juga kaedah-kaedah yang berbeza-beza yang diguna pakai oleh para iman mujtahid dalam berijtihad (mengeluarkan hukum) serta pelbagai lagi sebab-musabab yang di luar pengetahuan aku (kena rujuk ulama'). Inilah punca munculnya aliran mazhab yang pelbagai di dalam Islam.

Aku tidak berminat untuk mengulas perkara-perkara di atas secara mendalam tetapi ingin berkongsi panduan tentang bagaimana kita mendepani perbezaan pendapat ini.

Perlu diingat bahawa setiap kita jangan sampai taasub dengan sesuatu mazhab, individu ataupun kumpulan tertentu sehingga menolak pendapat yang lain. Kita kenalah berprasangka baik terhadap setiap pendapat yang lain walaupun ia bukan pegangan kita. Kita juga jangan mencela atau menyakiti golongan yang tidak sealiran dengan kita. Yakinlah bahawa perbezaan itu adalah rahmat dan ianya mempelbagaikan lagi jalan keluar terhadap satu-satu masalah. Sebagai contoh, dalam mazhab As-Sayfi'e, bersentuhan perempuan dengan lelaki ajnabi (halal kahwin) akan membatalkan wudhu' walaupun tanpa kehadiran rasa shahwat. Sudah tentu ini akan menjadi masalah bagi mereka yang bermazhab Syafi'e jika hendak melakukan tawaf di Baitullah. Jalan keluarnya ialah bertaqlid (bersandar/mengikut) dengan mazhab lain yang berpendapat tidak membatalkan wudhu' dengan jalan bersentuhan jika tidak bershahwat. Mazhab Hambali atau mazhab Maliki misalnya.

Setiap perkara khilaf perlulah diselesaikan melalui cara dialog dan perbincangan dalam semangat ukhuwah sesama Muslim. Di sana kita perlu mengutamakan yang Muhkamat (terang/jelas) bukan yang Mutasyabihat (samar). Sebarang perbezaan perlu adanya toleransi dan jangan sampai ada unsur paksaan atau penolakan sepenuhnya. Perbincangan perlulah lebih menjurus kepada masalah-masalah besar yang melanda umat Islam masa kini bukan kepada bid'ah-membid'ah (sesat-menyesatkan) dalam perkara-perkara furu' (cabang) yang telah diperselisihkan. Berilah keutamaan kepada sebarang kerjasama dalam masalah-masalah yang telah disepakati. Perlu diingat bahawa adalah mustahil untuk mencapai Ijma' (kesepakatan semua ulama') dalam masalah fiqh furu'iyah  (kefahaman dalam masalah cabang).


"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya".
                                                                                                                              An-Nisaa' : 59


Timbulnya persoalan, pendapat yang mana satu yang sepatutnya kita pegang dan ikut? Bagaimana jika orang lain mengamalkan sesuatu yang jelas berbeza dengan kita? Adakah mereka faham isu khilafiah dan bolehkah mereka berlapang dada serta bertoleransi dengan kita nanti?

Kita sebagai orang awam perlu beramal dengan aliran mazhab yang telahpun disepakati dalam masyarakat kita iaitu mazhab As-Syafi'e. Kenapa? Sebagai orang awam kita tidak cukup ilmu untuk berijtihad dalam mengeluarkan hukum. Oleh itu kita diwajibkan bertaqlid  dengan ulama' yang muktabar yang telah diakui ilmu dan ijtihadnya. Lebih-lebih lagi di dalam negara kita ini ada pihak berwajib yang mengawal selia perjalanan hukum-hakam (syarak) untuk diamalkan oleh orang awam seperti kita. Pendek kata, 'mazhab orang awam adalah mazhab pemerintahnya'. Pun begitu bukanlah menjadi kesalahan untuk mengamalkan kepelbagaian mazhab tetapi perlu mengambil kira tahap kefahaman dan keperluan masyarakat setempat bagi mengelakkan perpecahan.

Kepada yang berilmu dan mahir dalam aliran mazhab yang lain, dipersilakan untuk beramal dengan ilmu yang anda ada dengan syarat ianya untuk amalan sendiri bukan untuk diketengahkan kepada masyarakat umum. Ia hanya boleh diajar ataupun diamalkan di kalangan ahli ilmu atau mereka yang faham akan adab dalam berkhilaf sahaja, bukan untuk masyarakat awam yang rata-rata tidak memahami dan bersedia untuk ini.

Walaupun seseseorang itu berilmu dan memahami kepelbagaian mazhab, dia masih perlu untuk beramal dengan mazhab yang dipegang oleh masyarakat awam (selagi tidak bercanggah dengan syarak) untuk mengelakkan perpecahan. Kalaupun ada percanggahan syarak, dia perlulah memahamkan masyarakat dengan cara yang baik lagi hikmah. Setiap persengketaan sesama Muslim akan mengundang bencana dan murka Allah. Kesatuan umat perlulah diutamakan daripada masalah-masalah yang lain. Kita ada musuh yang lebih besar yang sedang menjahanamkan aqidah umat Islam serta 'menyembelih' saudara kita di luar sana!

Jelas di sini masalah khilaf tidak akan berakhir kerana faktor-faktor yang telah disebutkan diatas. Kita juga memerlukannya dalam mem'variasi'kan kemampuan kita untuk mencari penyelesaian  atau jalan keluar terhadap sesuatu masalah.


"Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak, nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu...".
                                                                                                                                 Al-Anfal : 46

Walaupun aku boleh menerima amalan dengan kepelbagaian aliran mazhab, aku tetap menentang satu amalan yang semakin popular dan mendapat tempat di dalam masyarakat kita iaitu talfiq. Apa itu talfiq? Tunggu tulisan aku yang seterusnya...

-AbdRahman

No comments: