Monday, March 29, 2010

Hidup Perlu Diuji

Telah menjadi lumrah,
Kehidupan di dunia,
Cabaran dan dugaan,
Mendewasakan usia,
Rintangan dilalui,
Tambah pengalaman diri,
Sudah sunnah ketetapan Ilahi.....

Di atas adalah bait-bait lirik sebuah lagu nasyid yang agak popular suatu ketika dahulu. Bercakap tentang Sunnatullah dan takdir, ia adalah hakikat Qada' dan Qadar yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Betapa kita merancang dan berusaha, ketetapan Allah telah termaktub ke atas kita. Pun begitu menyalahkan takdir bukanlah pegangan kita sebagai umat Islam yang beraqidahkan Ahlul Sunnah Wal-Jamaah, kerana Qada' dan Qadar ada kaitannya dengan ikhtiar dan usaha di pihak kita. 

Beberapa hari yang lepas aku diuji dengan kecurian CD player kereta yang sedikit mengganggu emosi. Musibah itu adalah ketetapan yang telah tertulis sejak azali lagi. Allah telah merencanakannya ketika waktu aku masih di dalam rahim ibu lagi sabit dengan hadith nabi:

Sabda Rasulullah: Sesungguhnya seseorang dari kamu dikumpulkan penciptaannya di dalam perut ibunya sebagai setitis air mani dalam masa 40 hari, kemudian menjadi segumpal darah dalam masa 40 hari yang berikutnya, kemudian menjadi seketul daging dalam masa 40 hari yang berikutnya kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu ditiup kepadanya roh dan ditulis baginya akan 4 kalimah iaitu ditentukan akan rezekinya, ajalnya, amalannya samada ia seorang yang celaka atau berbahagia.....
                                                                             Hadith Muttafaqun 'Alaih (Bukhari dan Muslim)


Sungguhpun telah ditakdirkan, peristiwa itu terjadi kerana kelemahan di pihak aku kerana gagal dalam ikhtiar dan usaha. Aku tidak sepatutnya meletakkan kereta di tempat yang gelap lagi sunyi. Aku juga tidak mengaktifkan penggera kereta kerana suis di bahagian pintu tidak berfungsi dengan baik. Ia adalah kerana kegagalan dan kecuaian aku untuk memperbaikinya. Pendek kata aku gagal untuk mengkaji Sunnatullah sehinggalah aku diuji. 


Dari Saidina Ali KW, beliau berkata: Adalah Rasulullah SAW pada suatu hari duduk. Di tangannnya ada sepotong kayu untuk menggores tanah. Baginda mengangkat kepala lalu bersabda: Setiap orang sudah diketahui tempatnya di dalam Syurga atau Neraka.  
Sahabat-sahabat bertanya: Apa gunanya lagi kita beramal, ya Rasulullah? Kenapa kita tidak bertawakal  (duduk menunggu takdir) sahaja?
Rasulullah menjawab: Jangan! Berusahalah, maka setiap kamu akan dipermudahkan Allah sesuai dengan ketentuanNya. Lalu Baginda membaca sepotong ayat Al-Quran: Barangsiapa yang suka memberikan hartanya ke jalan Allah dan membenarkan adanya Syurga, maka Kami akan memudahkan baginya jalan yang mudah, sampai akhir hayat.
                                                                                                                Hadith Riwayat Muslim

Diuji Allah satu hal, bermuhasabah diri di sebalik ujian pula satu hal. Ramai ahli-ahli jemaah surau yang menyatakan simpati dan minta aku bersabar di atas ujian ini. Aku sangat berterima kasih di atas keprihatinan mereka. Pun begitu dalam ramai-ramai, ada seorang abang ini yang kata-katanya begitu menyentuh dan menginsafkan.

"Bukan apa tu... kawan kita ni sembahyang dah bagus dah tapi bila bawak kereta dok dengar lagu-lagu.  Tu yang Dia ambik supaya ingat lebih kat Dia." 

Pedih! Tetapi itulah hakikatnya. Setiap ujian ada terselindung hikmah, terpulang bagaimana kita mentafsirkannya.


Pagi tadi selepas pulang dari kerja malam, Azhar, rakan sekerja yang juga bekas rakan serumah telefon aku. Dalam nada yang sedikit gementar dia menyatakan yang dia telah melanggar seorang budak sekolah bermotosikal di hadapan rumahnya. Dalam kebingungan dia meminta pendapat aku apa yang perlu dibuat. 

"La ni hang ada kat mana?" soal aku.

"Kat Hospital Seberang Jaya. Dia kat bilik kecemasan," balasnya.

"Macam ni... hang tanya doktor keadaan budak tu. Lepas tu hang kena buat report polis. Hang takdak pilihan dah. Nanti ada apa-apa telefon aku," nasihat aku.

"Hmmm..." akurnya. 


Petang tadi aku telefon Azhar. Dia mengatakan yang budak sekolah itu patah tangan dan kereta dia sedang diperiksa serta diambil gambar oleh polis di Balai Polis Bukit Mertajam. Apa yang boleh aku katakan padanya ialah banyakkan bersabar dan terima ini sebagai ujian serta ketentuan Ilahi. Macam aku, musibah yang dia alami juga ada hikmahnya, cuma ujian untuknya lebih berat dan menuntut kesabaran yang lebih berbanding aku.


Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah kerana kesalahan mereka sendiri, ketika itu mereka berputus asa.  Ar-Rum :36


Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia, nescaya dia berpaling dan menjauhkan diri dengan sombong; dan apabila ditimpa kesusahan, nescaya dia berputus asa.  Al-Isra' : 83


Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan/kesengsaraan, maka kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.  An-Nahl : 53


"Ya Allah ya Tuhanku, janganlah aku diuji dengan ujian yang tak mampu untuk  aku menanggungnya. Janganlah dijadikan aku daripada kalangan hamba-hambaMu yang rugi. Jadikanlah aku di kalangan hamba-hambaMu yang senantiasa bersabar dan bersyukur kepadaMu ya Allah. KepadaMu aku berserah dan kepadaMu aku memohon keampunan. Amin." 


-AbdRahman

No comments: