"Aku perlukan ruang untuk berfikir."
"Ruangan yang engkau sediakan tak mencukupi untuk artikel aku yang panjang ini."
"Ruang dalaman rumah kau ni sangat luas dan anggun la." - Ini adalah beberapa contoh betapa ruang memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Ruang yang kita cari, pilih atau yang kita perolehi adalah penentu keselesaan, kebebasan, malah mungkin juga penentu kejayaan kita.
Ruang pada bahasanya adalah satu kawasan kosong di antara dua yang terisi (rongga). Ruang juga adalah keadaan di mana sekeliling kawasannya telah disempadankan. Ruang yang lebih besar bermakna sesuatu itu bebas bergerak manakala ruang yang kecil akan menyempitkan dan membataskannya.
Sejak kita masih dalam kandungan ibu, ruang kehidupan kita disempitkan dengan keadaan tubuh kita yang dibatasi dinding rahim. Sewaktu kita baru dilahirkan, batasan ruang kita hanyalah bilik tidur rumah kita sahaja. Kemudian sempadan dinding ruang hidup kita semakin membesar dan mengembang selari dengan faktor usia dan keperluan hidup.
Mereka yang berkerja di kampung, ruang hidupnya terbatas pada sekitar kejiranan dan kawasan sekitarnya sahaja. Berbeza dengan mereka yang telah berhijrah ke bandar mahupun ke luar negara, persepsi dan sudut pandang mereka mula berubah berdasarkan keperluan dan pengalaman di tempat baru dan terasing. Pepatah ada menyebut, 'jauh perjalanan luas pandangan'.
Sejak setengah abad yang lalu kita mula mengetahui yang alam ini semakin mengembang dari semasa ke semasa. Penciptaan teleskop Hubble membolehkan para pengkaji astronomi melihat serta mengukur ruang alam semesta dan seterusnya mengandaikan umur alam ini.
Dianggarkan umur alam ini sekitar 13.7 bilion tahun. Bagaimanakah ahli astronomi menganggarkannya? Hasil kajian mendapati bahawa alam ini mengembang secara malar di seluruh rentasannya. Semakin jauh sesuatu objek, maka semakin besarlah kesan pengembangannya dan semakin lajulah pergerakan dan jarak objek tersebut meninggalkan kita. Dengan mengkaji pengembangan alam secara reverse, maka ahli astronomi dapat mengagak usia alam ini. Bayangkan betapa besarnya ruang yang mengelilingi kita pada hari ini!
Adakah kita perlu meneroka secara fizikal ke seluruh alam untuk mengkaji tentangnya? Mana mungkin untuk kita melakukan perkara itu. Kita hanyalah ibarat sebutir pasir di tengah padang pasir yang luas. Kita hanya meneroka alam ini dengan ilmu dan pengetahuan dari tempat kita berada iaitu bumi. Kita disuruh untuk ke luar bagi mencari ilmu dan pengalaman dengan meneroka alam. Malangnya alam ini terlalu luas untuk diteroka secara fizikal, maka penerokaan dilakukan secara minda.
Ruang hidup kita terbahagi kepada dua; fizikal dan minda. Ruang hidup bolehlah disamakan sebagai padang permainan. Setiap permainan mempunyai peraturannya yang tersendiri. Jika kita melakukan kesilapan bermakna kita mungkin akan kalah. Lebih besar ruang bermakna lebih selesa permainan. Disebabkan kemampuan kita untuk bermain di ruang hidup fizikal adalah terbatas, maka kita boleh teruskan permainan di ruang hidup minda. Ruang hidup minda memungkinkan kita untuk mendapat lebih ruang kebebasan walaupun hakikatnya masih terbatas.
Cuba bayangkan sewaktu kita di zaman kanak-kanak dahulu. Ruang hidup kita hanyalah kotak-kotak televisyen yang kononnya kita jadikan sebagai kereta, kapal terbang atau mungkin juga sebagai rumah. Kita hanya bermain di dalam kotak yang sempit itu tetapi ruang minda kita menjelajah jauh dengan berimaginasi tentang permainan kita. Di situlah pembelajaran kita pada peringkat awal sebelum kita berani meneroka ke alam luar (fizikal) yang masih asing bagi kita.
Alam ruang fizikal adalah tempat di mana kita menimba pengalaman-pengalaman baru dan bereksperimen dengannya. Alam ruang minda adalah tempat di mana kita mengumpul pengalaman-pengalaman di ruang fizikal lalu kita proses dan kembangkannya untuk tujuan muhasabah diri, merancang kehidupan, berfikir dan membuat keputusan serta beribadat (mencari Tuhan). Kegagalan untuk memproses pengalaman di ruang hidup fizikal untuk pembaikan diri bolehlah disamakan seperti para pelabur skim cepat kaya yang berterusan mempercayai bentuk-bentuk pelaburan baru yang dijanjikan walaupun telah beberapa kali tertipu sebelumnya.
Apa yang saya cuba terangkan ialah betapa perlunya kita berpergian jauh untuk menjelajah ruang dan peluang secara fizikal. Akan tetapi kita juga perlukan ruang peribadi bagi mengeksploitasikan kuasa minda untuk melakukan penjelajahan yang lebih luas. Ruang peribadi yang kecil itu boleh jadi bilik tidur kita, bilik bacaan ataupun bilik komputer di rumah. Ruang itu juga boleh jadi suatu sudut di taman, di tepian sungai dan mungkin juga di puncak gunung. Ruang peribadi yang kecil itu akan lebih bermakna jika ianya adalah bilik solat dan zikir, tempat kita mencari 'rahsia' yang Maha Esa sepertimana junjungan nabi kita Muhammad SAW yang mengasingkan diri di Gua Hira' sebelum diangkat menjadi rasul.
"Dan apakah mereka tidak memperhatikan kerajaan langit dan bumi dan segala apa yang diciptakan Allah, dan kemungkinan telah dekatnya waktu (kebinasaan) mereka? Lalu berita mana lagi selepas ini yang akan mereka percayai?" Al-A'raf : 185
"Katakanlah, 'Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi!' Tidaklah bermanfaat tanda-tanda (kebesaran Allah) dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman"Yunus : 101
Subhan-Allah!
No comments:
Post a Comment