Sudah lama aku perhatikan beberapa perubahan di sekitar kediaman aku - flet Pusat Bayan. Cumanya baru hari ini tergerak untuk aku sebarkan dalam blog. Kalau diperhatikan betul-betul terdapat 3 tiang yang baru dipasang di setiap bahagian flet kecuali bahagian hadapan. Setelah diamati betul-betul kita akan dapati yang ianya adalah tiang yang menempatkan kamera CCTV. Tujuannya adalah untuk memantau aktiviti pembuangan sampah dari tingkat atas flet.
Amat menyedihkan bila penghuni yang rata-ratanya adalah penduduk Melayu menjalankan aktiviti yang tak bermoral ini. Telah banyak kali kejadian kereta kemek akibat jatuhan benda-benda keras dan berat atas bumbung kereta yang parkir di sebelah bawah. Kereta aku juga tak terkecuali, mujur yang dibuang itu adalah lebihan mee. Begitupun teruk jugalah aku nak membersihkannya!
Pernah sekali sewaktu baru pulang dari kerja aku nyaris-nyaris dihempap bungkusan nasi basi. Berdengung bunyinya bila plastik nasi itu lalu sipi di telingaku.
"Hampeh!" aku mendongak, mencari-cari siapa dan dari tingkat mana bungkusan itu dilemparkan. Macam biasa, siapa yang nak tunggu dan mengaku?!
Yang aku pelik, terdapat 6-7 tong sampah yang telah disediakan oleh pihak pengurusan tetapi manusia-manusia biadap ini tetap juga meneruskan aktiviti ini. Apalah salahnya jika sampah itu dibawa turun ke tong sampah sewaktu hendak ke kedai mahupun ke tempat kerja? Inilah 'mentaliti sampah' masyarakat Pusat Bayan. Hati mereka sangat busuk, sebusuk sampah yang telah mereka hasilkan. 1st class facilities with 3rd class mentality kata mantan PM Pak Lah.
Walaupun pemasangan CCTV ini nampak macam lawak, tapi ianya adalah sebaik-baik penyelesaian kepada masalah 'masyarakat hutan' ini. Bezanya orang utan tinggal tinggi di atas pokok, 'orang hutan' bandar pula tinggal tinggi di atas flet!
-AbdRahman (orang luar bandar)
No comments:
Post a Comment