"Sesungguhnya orang yang beriman itulah mereka yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian itu mereka tidak ragu-ragu..." Al Hujurat : 15
Semakin manusia maju semakin manusia itu tertinggal ke belakang. Ketamadunan akhlak yang sepatutnya menunjangi masyarakat semakin terhakis. Negara berperadaban yang dahulunya galak dilaungkan kini telah semakin menghilang menjadi hanya sekadar retorik. Manusia semakin hilang arah dalam mencari kemajuan duniawi. Kepentingan beragama semakin ditinggalkan.
Yang memimpin sebahagiannya menindas mereka yang di bawah kepimpinannya. Pihak yang berkuasa pula ada yang sanggup menggadai maruah dan keselamatan negara demi mencari kesenangan secara jalan pintas hinggakan rasuah bermaharajalela. Pembunuhan, rompak dan rogol adalah fenomena biasa. Muda-mudi mula khayal dalam dunia hiburan yang tidak dapat lari daripada perlakuan seks bebas, arak dan dadah. Pencemaran alam merosakkan eko-sistem dunia sehingga menyebabkan kepupusan beberapa spesis hidupan saban hari.
Dunia kini semakin tidak selamat untuk didiami. Perkara-perkara sebegini berlaku kerana hilangnya iman di dalam dada sehingga membentuk insan-insan durjana yang berselindung di sebalik manifesto dusta. Jika tidak kerana janji Allah akan kemenangan di pihak yang 'haq', tentu sahaja kita mengatakan bahawa kita sudah tiada harapan, hanya menunggu saatnya kehancuran.
Iman itu adalah kepercayaan yang sesungguhnya di dalam hati, tidak bercampur syak dan ragu-ragu serta ianya dapat mempengaruhi kehidupan seharian sama ada di dalam perbuatan, percakapan mahupun iktiqad (pengakuan dalam hati). Iman merupakan aqidah di dalam memilih cara kehidupan di dunia seterusnya untuk dibawa ke hari akhirat. Iman bukan sekadar fikiran, pendapat dan ideologi malah merangkumi kebenaran yang tetap, tidak berubah-ubah, tidak boleh dipengaruhi dan disimpul mati. Iman yang mantap akan menyuburkan ketaqwaan kepada Allah.
Umum iman itu adalah kepercayaan kepada pencipta dan pentadbir alam ini iaitu Allah, kepercayaan kepada para MalaikatNya, kepercayaan terhadap sekelian kitab-kitab dan risalah-risalah yang diturunkan oleh Allah, kepercayaan terhadap rasul-rasul yang diamanahkan membawa utusan daripada Allah, kepercayaan akan datangnya hari Kiamat atau hari pembalasan dan juga kepercayaan bahawa sesungguhnya segalanya yang berlaku di dalam alam ini tertakluk kepada Qada’ dan Qadar Allah.
Menerbitkan rasa keimanan itu perlu bermula dengan percaya bahawa Allah itu ada dan Dia Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Mana mungkin alam yang serba luas dan indah ini tiada penciptanya! Mana mungkin semuanya terjadi dengan sendirinya dan setiap kejadian diserahkan kepada apa yang dinamakan sebagai ketentuan alam!
Sedangkan mesin ciptaan manusia perlu kepada penciptanya, perlu kepada pekerja yang memprogramkannya, perlu kepada pekerja yang menjalankannya serta perlu kepada pekerja yang ditugaskan untuk membaikpulih setelah ia rosak, inikan pula alam ini yang serba kompleks dan terperinci tentu tidak berupaya dicipta, diprogram dan diselenggara dengan apa yang dinamakan sebagai semulajadi dan ketentuan alam.
Siapa yang menjalankan bintang-bintang dan planet-planet termasuk bumi ini tanpa berlaku pertembungan sesama mereka? Siapa yang mengawal pasang surut air di lautan? Siapa yang mengajar setiap hidupan di daratan dan di lautan tentang bagaimana untuk bertindak bagi meneruskan kelansungan hidup sedangkan mereka tidak diberikan akal?
Fitrah manusia yang sihat akal fikirannya pasti dapat merasakan bahawa setiap individu termasuk dirinya sendiri dan alam sekeliling ini diciptakan dengan tujuan yang tertentu. Setiap perjalanan kehidupan makhluk di muka bumi ini serta peredaran planet-planet yang menghiasi alam ini telah ditentukan dan dikawal mengikut suatu kehendak yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa. Hebatnya Allah menciptakan, mentadbir, melindungi, dan menghancur-musnahkan berdasarkan kekuasaan, kehendak dan kebijaksanaanNya.
Individu yang disinari cahaya keimanan akan mendapat ketenangan jiwa kerana adanya pengharapan dan kebergantungan hidup kepada penciptanya. Orang yang beriman merasakan dirinya dekat dengan Allah dan tidak akan dipengaruhi oleh apa jua masalah serta musibah kerana di sana adanya kepercayaan bahawa ia adalah ketentuan dan ujian untuk menilai kedudukan hamba di sisi Tuhannya. Orang yang beriman sentiasa membalas kasih sayang Allah bukan sekadar tunduk dan patuh pada kewajipan beribadah malah turut menjelmakan perasaan kasih dan cintanya sesama ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, masyarakat dan alam sekelilingnya.
Haiwan mempunyai jalan kehidupan yang teratur dan tersusun. Sebagai contohnya lebah. Bermula dengan tugas lebah ratu yang menghasilkan telur, lebah pekerja yang tugasnya membuat sarang, lebah pencari madu sehinggalah kepada lebah pengawal semuanya tahu peranan masing-masing tanpa disuruh. Begitu juga dengan singa yang berburu secara berkumpulan bijak menghendap dan memerangkap mangsa. Jika sasaran buruan juga dalam bentuk berkumpulan, mereka akan cuba menghuru-harakan kawanan sasaran itu dan memisahkan sasaran yang sesuai sebelum menyerang. Semuanya tertakluk kepada naluri yang dipimpin oleh Allah.
Berbeza dengan manusia, walaupun ketentuan tindakan kita adalah berdasarkan Qada’ dan Qadar Allah, kita turut diberikan akal dan ikhtiar untuk bertindak dalam merencanakan kehidupan yang kita pilih. Di sana berlaku pertentangan dan pertembungan antara akal yang baik dan nafsu yang jahat. Iman memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk sahsiah diri dan tingkah laku seseorang seterusnya membentuk nilai masyarakat itu sendiri. Iman membuktikan pengaruhnya dalam kesediaan kita untuk menegakkan hukum dan memelihara amanah serta kesediaan kita untuk mengakui kesalahan dan menerima hukuman.
Iman yang mantap membuatkan kita bersedia untuk memberi dan berkorban. Perasaan untuk mementingkan diri sendiri dan ego adalah sifat semulajadi manusia. Atas sifat-sifat tadi manusia terarah untuk membolot semua kebaikan untuk dirinya sendiri samada dalam bentuk harta kekayaan, pangkat, kemasyhuran atau apa jua perkara yang menjadikan seseorang itu merasa puas dan megah. Pengaruh iman yang kukuh pasti akan mencairkan segala sifat-sifat buruk tadi serta sedia untuk berkorban dan memberi kepada mereka yang memerlukan.
Jangan pula ditafsirkan pengorbanan itu adalah semata-mata hanya untuk kepentingan orang lain kerana di sana banyak sekali contoh betapa ketamadunan kehidupan yang diasaskan oleh iman dan taqwa membawa kepada kebaikan sejagat. Kehidupan para sahabat adalah contoh terbaik selepas zaman Rasulullah. Zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz dan zaman perkembangan ilmu yang dipelopori oleh para cendekiawan Islam membuktikan betapa Islam itu sendiri adalah tamadun yang unggul.
Kerana iman, masyarakat yang lemah akan menjadi kuat, yang lalai dan alpa akan lebih bersiap sedia dan berwaspada, yang putus asa menjadi bersemangat, yang jahil menjadi berilmu dan yang mundur menjadi maju. Keimanan menciptakan revolusi dan pembaharuan samada dalam bentuk gerakan dakwah, pendidikan dan penyelidikan, politik mahupun ekonomi. Jika pembaharuan ini tidak sejajar dengan kehendak jiwa dan kehidupan, maka akhirnya ia akan hancur musnah. Keimanan dan ketaqwaan itulah fitrah jiwa dan kehidupan.
Sebagai kesimpulannya, iman melahirkan manusia yang bertaqwa, tahu batas kehidupan, menghormati hak orang lain dan menjana kemajuan. Melahirkan keimanan perlu bermula dengan mengenali Allah serta sifat-sifatNya yang agung serta percayakan Qada’ dan QadarNya. Sesungguhnya Allah adalah tumpuan dan matlamat kita.
Ingatlah bahawa balasan buruk menanti mereka yang ingkar pada undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Usaha dan pengharapan perlu disandarkan sepenuhnya kepada Allah semoga diperkenankan. Yakinlah seandainya kegagalan yang mendatang itu adalah kerana masih ada kesilapan dan kekurangan di pihak kita dan ia adalah ujian daripada Allah untuk menilai hamba-hambaNya.
"Katakanlah (Muhammad), 'Siapakah Tuhan langit dan bumi?' Katakanlah 'Allah.' Katakanlah, 'Patutkah kamu mengambil pelindung-pelindung selain Allah, padahal mereka tidak berupaya mendatangkan manfaat mahupun menolak mudarat bagi dirinya sendiri?' Katakanlah, 'Samakah orang yang buta dengan yang dapat melihat? Atau samakah yang gelap dengan yang terang? Apakah mereka menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang dapat menciptakan seperti ciptaanNya sehingga kedua ciptaan itu serupa menurut pandangan mereka?' Katakanlah, 'Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dia Tuhan yang Maha Esa, Maha Perkasa.' " Ar-Ra'd : 16
Allahu-Akbar!
Diinspirasikan daripada buku Al-Iman Wal-Hayah oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi.
-
AbdRahman
No comments:
Post a Comment